suria

Watak Serius Nabil Ahmad Ditertawakan Penonton

Nabil belum berjaya bawa watak serius.
PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Nabil Ahmad mengakui masih belum berjaya membawakan watak serius dengan baik apabila adegan mengamuk yang dilakonkannya dalam filem Romeo Kota, Fail Kes : Kriptik menjadi bahan jenaka penonton.

Nabil, 30, berkata, raut wajahnya yang seringkali muncul sebagai seorang pelawak menjadikan babak serius yang dilakonkannya dilihat sebagai kelakar.

“Ada satu babak yang perlu saya mengamuk kerana rakan ditembak penjenayah dan untuk babak itu, saya harap sangat orang tidak ketawa.

“Tetapi ada juga penonton yang ketawa. Saya sendiri pun gelak kerana sewaktu saya melakonkan babak itu, saya fikir raut wajah saya dah habis serius. Rupa-rupanya apabila ditonton semula, kelakar juga muka saya.

“Apa-apa pun saya akan cuba lagi memperbaiki watak serius,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Nabil memberitahu dia lebih menghargai sesebuah filem atau drama genre aksi selepas melalui kepayahan melakonkan babak-babak tersebut dalam filem berkenaan.

Katanya, pengalaman paling sukar ialah ketika terpaksa melompat daripada tempat tinggi sehingga membuatkan pengarah filem itu Aaron Aziz mengulangi beberapa kali adegan tersebut.

"Susah sebenarnya berlakon filem aksi, selepas melalui pengalaman pertama ini saya lebih menghargai filem dan drama aksi yang ditayangkan.

"Ada babak yang perlu saya melompat pun saya sukar lakukan kerana gayat. Kasihan juga, Aaron terpaksa banyak bersabar dan mengulangi beberapa kali babak tersebut sehingga saya boleh lakukan dengan baik," ujarnya.

Nabil berkata, dia terpaksa berlatih bertarung selama tiga hingga empat jam sebelum memulakan penggambaran kerana tidak pernah mempelajari asas mempertahankan diri sebelum ini.

Sementara itu dia menerima tawaran filem tersebut berikutan ia dihubungi sendiri oleh Aaron Aziz.

"Kalau nak diikutkan saya jarang ambil tawaran drama dan filem sekarang ini kerana sibuk dengan komitmen sebagai penyampai radio di Era FM, tetapi selepas dihubungi sendiri oleh Aaron saya terbuka hati untuk setuju.

"Sapa tidak mahu bergandingan dengan dia dan saya memang tidak fikir panjang dan terus mengatur jadul untuk beri keutamaan pada penggambaran tersebut," ujarnya.

Filem Romeo Kota, Fail Kes : Kriptik ini merupakan genre aksi komedi yang memaparkan kisah dua anggota polis iaitu Aaron dan Nabil dalam membanteras jenayah di sebuah kolej.

Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Datin Nina Juren, Sofi Jikan, Ahmad Idham, Hanis Zalikha, Fizo Omar, Sleeq dan Shenthy Feliziana.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei bermula 8 Januari depan.
Nabil Ahmad

Artikel Lain