suria

Anak Felda Dapat Peluang Jadi Penyanyi

Jalil Hamid (tengah) bersama artis-artis baharu yang menjayakan album Kami Anak Felda (KAF).
AMPANG: Felda memberi laluan kepada anak-anak peneroka yang mempunyai bakat dalam bidang seni untuk mencari tapak dalam industri muzik tempatan.

Pengarah Jabatan Komuniti Felda, Anuar Malek berkata, pencarian bakat-bakat baharu sentiasa dilakukan menerusi pelbagai program yang dianjurkan di 317 buah gugusan Felda seluruh Malaysia.


"Kami sentiasa memberi galakkan kepada warga Felda yang mempunyai bakat terpendam untuk keluar mencari tapak dalam industri seni.

"Penganjuran program-program seperti Kembaran Wayang Padang Komuniti Felda yang diadakan setahun lalu telah mendapat enam bakat baru yang akan diketengahkan," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa.

Anuar berkata demikian pada sidang media pelancaran album Kami Anak Felda (KAF) yang diadakan di Bora Ombak, di sini, Selasa.

Antara bakat baharu yang diperkenalkan dalam album Kami Anak Felda ialah Zaki Zain, Ilham, Shana, Ayu Riqa, Taufiq dan Adhana.

Selain itu, tiga artis undangan iaitu Siti Nordiana, Jalil Hamid dan Zahid Baharudin turut terlibat.

Sementara itu, Anuar berkata, Felda turut mempunyai perancangan dan strategi untuk enam penyanyi baharu ini meneruskan kerjaya mereka.

"Kami dalam perancangan menubuhkan akademi seni untuk anak-anak Felda dan mereka merupakan perintisnya.

"Lagi pula di Felda sendiri banyak program berbentuk seni yang mana kami memberi keutamaan kepada mereka," ujarnya.

Album ini akan berada dipasaran bermula Januari depan.
KAF, Felda

Artikel Lain