suria

Pembaca mStar Online Temui Mikrofon Hafiz Suip

Hafiz bersama Junaidi dan isterinya, Juliana Jamal serta anak-anak mereka ketika pertemuan di Sentul pada malam Khamis. Foto Ihsan Instagram Hafiz Suip.

PETALING JAYA: Kegelisahan penyanyi Hafiz Suip ekoran kehilangan mikrofon kesayangannya pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) yang berlangsung pada 7 November lalu akhirnya terlerai selepas peralatan itu ditemui oleh seorang pembaca mStar Online.

Individu tersebut, Junaidi Kargo, 39, ketika dihubungi berkata, dia menemui mikrofon tersebut berhampiran tempat letak kereta Hotel Seri Pacific yang terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana acara itu berlangsung ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan anugerah itu.

"Ketika menemui mikrofon tersebut saya tidak tahu ia milik Hafiz biarpun pada kotaknya ada tertera namanya tetapi langsung tidak menyangka ia milik seorang penyanyi.

"Apabila membaca laporan mStar Online yang mengatakan Hafiz kehilangan mikrofon selepas ASK baharulah saya tahu ia milik penyanyi tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Komen yang ditinggalkan oleh Adila pada ruangan komen di mStar Online.

Hafiz dalam laporan mStar Online bertarikh 24 November lalu berkongsi rasa sedih akibat kehilangan alatan tersebut yang dibelinya sejak setahun lalu kerana ia mempunyai nilai tinggi.

Bagaimanapun Hafiz mengakui kehilangan tersebut bukan disebabkan kecurian sebaliknya atas kecuaian dirinya sendiri yang meletakkan kotak mikrofon tersebut di bumbung keretanya.

Ekoran kejadian tersebut, Hafiz turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari berikutnya.

Difahamkan mikrofon itu bernilai puluhan ribu ringgit.

Selain Hafiz, beberapa artis tempatan lain turut mempunyai mikrofon sendiri seperti Datuk Siti Nurhaliza dan juga Misha Omar.

Dalam pada itu, Junaidi berkata, selepas membaca laporan kehilangan tersebut di mStar Online, dia meminta bantuan adik iparnya yang dikenali sebagai Adila untuk mendapatkan nombor telefon pihak pengurusan Hafiz bagi membolehkan dia memulangkan semula peralatan berkenaan.

Hafiz lega mikrofon kesayangannya ditemui semula.

Adila dalam ruangan komen berita itu di mStar Online  memaklumkan mikrofon tersebut berada dalam simpanannya serta meninggalkan nombor telefon Junaidi dengan harapan pihak Hafiz menghubungi mereka.

"Asalnya isteri saya yang baca artikel berkenaan dan mula menyedari bahawa mikforon yang kami jumpa itu miliknya dan meminta bantuan adiknya untuk menghebahkan perkara itu di laman sosial supaya peralatan berkenaan dapat dipulangkan.

"Alhamdulillah selepas beberapa hari pihak Hafiz menghubungi saya dan pada malam Khamis (semalam) dia datang sendiri ke rumah saya di Sentul untuk mengambil alatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Junaidi berkata, Hafiz kelihatan cukup gembira apabila menerima mikrofon tersebut dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Dia juga berbesar hati dapat membantu Hafiz dan yakin mikrofon berkenaan mempunyai makna besar dalam karier penyanyi itu.

"Syukur mikrofon berkenaan dapat dipulangkan kepada tuannya dan paling tidak sangka Hafiz datang ke rumah kami malah menghabiskan masa lebih sejam untuk beramah mesra dengan kami sekeluarga.


Adila memaklumkan dalam laman Twitter miliknya Hafiz sudah mengambil mikrofon berkenaan.

"Hafiz seorang yang sangat merendah diri dan cukup mesra. Anak-anak saya paling teruja dapat bertemu dengannya," ujar Junaidi.

Dalam perkembangan sama, Hafiz menerusi laman Instagram miliknya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Junaidi sekeluarga atas keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan kerana bersungguh-sungguh untuk memulangkan mikrofon tersebut.

"Alhamdulillah... terima kasih saya ucapkan kepada abang Junaidi kerana telah menemui mikrofon kesayangan saya dan kepada seluruh ahli keluarganya kerana menyambut kedatangan saya dengan hati yang terbuka.

"Insya-Allah, mikrofon tersebut akan digunakan pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung tidak lama lagi," ujarnya.

Hafiz Suip.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain