suria

'Awak Kat Mana' Percintaan Dikongkong Kekasih - Taufik Batisah

PETALING JAYA: Penyanyi berasal dari Singapura, Taufik Batisah memberitahu lagu terbaharunya berjudul Awak Kat Mana adalah inspirasi percintaan rakan-rakannya yang sering dikongkong kekasih.

Taufik, 32 berkata, dia mendapat ilham selepas mengejek mengenai pertanyaan  'awak kat mana'  kepada rakan-rakannya melalui laman sosial sehingga perkara tersebut menjadi viral.

"Pada mulanya saya sengaja suka-suka buat video Instagram bertanya awak kat mana dengan niat mengejek sahaja, namun tidak sangka perkara itu diikuti oleh artis lain termasuk Hisyam Hamid dan Aaron Aziz menyebabkan ia menjadi viral di laman sosial.

"Selepas itu barulah saya dapat idea untuk cuba buat lagu tersebut memandangkan ramai beri respons baik. Ia inspirasi daripada hubungan percintaan rakan-rakan di sekeliling saya yang rimas dengan pasangan kekasih mereka," ujarnya kepada mStar Online.

Taufik Batisah akan lancarkan album terbaharunya berjudul Fique di Malaysia dalam masa terdekat.

Taufik berkata, dia membuat lagu tersebut dalam tempoh yang singkat supaya dapat dimasukkan ke dalam album terbaharunya yang sudah siap untuk dilancarkan.

Dia juga tidak menjangkakan lagu tersebut mendapat perhatian dan dijadikan parodi di laman sosial. "Sebenarnya album terbaharu saya Fique sudah siap 12 buah lagu dan tinggal masa untuk dilancarkan sahaja.

"Tapi saya minta mereka tangguhkan sekejap kerana ingin memasukkan lagu Awak Kat Mana ini, malah single pertama yang sudah dipromosi iaitu Menakluk Cinta turut ditenggelami dengan lagu  Awak Kat Mana ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Taufik berkata, dia tidak berkecil hati dengan segelintir masyarakat yang menganggap lagu itu menjengkelkan dan membuat pelbagai parodi mengenainya.

Malah, ujarnya, perkara itu dianggap sebagai promosi percuma kepada lagu tersebut.

"Saya akui ramai yang menyampah dan anggap lagu ini menjengkelkan, memang saya buat untuk buat orang gembira dan menyampah pun.

"Banyak parodi yang muncul selepas lagu ini dilancarkan, saya suka mereka buat parodi dengan cara tersendiri dan menghiburkan," katanya.

Taufik dipilih menjadi juri tetap Maharaja Lawak Mega 2014 yang sudah pun bermula pada Jumaat lalu.

Dia bakal melancarkan Fique di negara ini dalam masa terdekat.
Awak Kat Mana, Taufik Batisah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain