suria

Hans Isaac Sukar Pujuk Dua Pelakon Popular Sertai 'Supermokh Sebuah Muzikal'

Harit Iskander dan Hans Isaac sebagai pengarah teater Supermokh Sebuah Muzikal.
PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah Hans Isaac terpaksa memujuk dua pelakon utama iaitu Awie dan Maya Karin untuk bersetuju sekali lagi menerajui pementasan teater Supermokh Sebuah Muzikal yang bakal bermula pada 8 September hingga 21 September depan, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Hans berkata, kedua-dua pelakon itu pada awalnya menolak tawaran tersebut atas sebab peribadi dan tidak boleh memberi komitmen sepenuhnya kepada persembahan semula teater tersebut.

"Pada mulanya saya agak runsing juga apabila Awie menyatakan hasrat untuk menolak tawaran itu kerana kontroversi yang sedang dihadapi sekarang, manakala Maya juga ada masalah sendiri dan tidak boleh beri komitmen sepenuhnya terhadap persembahan yang bakal berlangsung itu.

"Saya terpaksa jumpa Awie untuk makan tengah hari dan pujuk dia, selepas itu balik terus jumpa Maya Karin untuk pujuk dia dan yakinkan dia supaya setuju terlibat dalam persembahan kali kedua ini.

"Masa awal kontroversi yang menimpa Awie itu, saya sudah beritahu pada pihak penaung iaitu Sultan Selangor tentang kebarangkalian Awie untuk menarik diri itu tinggi dan Sultan Selangor sendiri telah meminta Awie untuk terlibat dalam persembahan ini," katanya kepada mStar Online.

Awie dan Maya Karin teraju utama teater Supermokh Sebuah Muzikal



Hans berkata demikian pada majlis pelancaran Teater Supermokh Sebuah Muzikal yang berlangsung pada 8 September hingga 21 September depan di Panggung Sari, Istana Budaya, petang Selasa.

Teater tersebut turut dibintangi oleh Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clerence Kuna.

Sementara itu, pelawak dan pelakon Harith Iskander turut menjadi pengarah bersama dan pelakon undangan dalam teater tersebut.

Tambah Hans, dia memerlukan kedua-dua pelakon asal teater itu termasuk keseluruhan pasukan pementasan yang sama bagi melancarkan perjalanan teater tersebut.

"Saya kumpulkan pasukan yang asal kerana semuanya sudah tahu kerja masing-masing dan kita hanya perlu buat beberapa penambah baikan sahaja.

"Semua bergerak pantas dan kini sudah 80 peratus siap dan dianggarkan minggu depan sudah siap sepenuhnya dan bersedia untuk dipentaskan," ujarnya.

Barisan artis yang terlibat dalam pementasan kedua ini.



Sementara itu, daripada segi promosi, Hans mengakui kos pementasan semula ini agak tinggi sehingga mencecah nilai setenggah juta ringgit.

Katanya, hampir 110 papan iklan elektrik dan seluruh bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan dipasang iklan teater tersebut.

"Kita akan buat promosi besar-besaran seperti papan iklan elektronik sebanyak 110 yang akan dipasangkan di seluruh Kuala Lumpur dan Selangor, bangunan-bangunan PKNS, di semua akhbar dan tiga stesen radio.

"Kos bernilai lebih setenggah juta ringgit semata-mata untuk beri kesedaran kepada semua masyarakat tentang pementasan ini," katanya.

Dalam pada itu, Hans berkata, dia tidak bimbang dengan pementasan tersebut berikutan tiket minggu pertama telah dijual untuk syarikat korporat.

Katanya, setakat ini 13,000 tiket daripada 22,000 tiket telah berjaya dijual melalui penjualan korporat dan awam.

"Saya tidak bimbang kerana tiket-tiket saya jual dengan syarikat korporat, saya tidak akan tunggu penonton untuk datang lihat dan menanggung risiko jika tiada siapa yang datang.

"Namun kami menyediakan sebanyak 200 keping tiket untuk penonton yang datang secara walk in di kaunter," katanya.

Teater Supermokh Sebuah Muzikal ini mengisahkan tentang seorang ikon bola sepak Malaysia iaitu, Allahyarham Mokhtar Dahari yang mendapat gelaran Supermokh.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merupakan penanung teater ini.

Bagi yang berminat untuk menyaksikan pementasan semula Supermokh Sebuah Muzikal ini boleh membuat tempahan tiket melalui online di www.ticket2u.biz atau di kaunter box office Istana Budaya.

Artikel Lain