suria

Ajak (Shiro) Minta Kebenaran Isteri Lakon Babak Intim

Ajak (kiri) mengakui minta kebenaran isteri untuk berlakon disamping aktres Sherry Ibrahim.
PETALING JAYA: Pelawak dan anggota kumpulan Shiro iaitu Ajak terpaksa meminta kebenaran isterinya untuk melakonkan adegan intim dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul Sayang Wak Lu.

Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanafi Razak, 28, berkata, dia berbuat demikian kerana menghormati isterinya dan bersetuju melakonkan babak bersama aktres Sherry Ibrahim selepas mendapat kebenaran wanita berkenaan.

"Jika dia kata tidak boleh saya tidak akan berlakon dalam drama berkenaan tetapi dia faham dengan kerjaya saya sebagai pelakon cuma dia minta saya maklum kepadanya terlebih dahulu kerana bimbang timbulnya fitnah daripada pihak lain," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Ajak, babak berkenaan tidak melibatkan adegan ranjang sebaliknya hanya memaparkan kemesraan pasangan kekasih.

Dalam pada itu, Ajak mengakui, bukan mudah untuknya melakonkan watak serius dalam drama berkenaan kerana sudah terbiasa dengan peranan komedi sebelum ini.

Pun begitu kata Ajak, peluang diberikan Michael telah berjaya membuatkannya keluar daripada zon selesa dan tidak menolak sekiranya tawaran sama diberikan selepas ini.

"Memang mencabar dan rasa kekok tetapi tunjuk ajar daripada Michael membuatkan saya sedar bakat lakonan saya bukan hanya sekadar komedi sahaja.

"Selepas ini saya terbuka untuk mencuba lebih banyak watak lain kerana ia memberi latihan kepada saya untuk mengeksperesikan emosi dalam bentuk berbeza," jelasnya.

Sementara itu, Ajak berkata, itu tidak bererti dia akan meninggalkan dunia komedi dan mengakui lawak pentas masih menjadi keutamaan dan lakonan drama sekadar untuk mengutip ilmu.
Ajak, Shiro, Sayang Wak Lu.

Artikel Lain