suria

Artis Baharu Tidak Akan Gugat Kerjaya Rem

Rem memberitahu kehadiran ramai artis baharu adalah bagus kerana mereka adalah pelapis pada masa hadapan.

PETALING JAYA: Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Selingkar Kasih iaitu Rem tidak berasa tergugat dengan lambakan penyanyi baharu walaupun dia akan tampil dengan album terbaharu pada masa terdekat.

Rem atau nama sebenarnya, Ramzani Kassim, 40, berkata, dia yakin masih mempunyai pengikut tersendiri yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.

"Sudah 18 tahun saya bergelar penyanyi dan rasanya saya tidak perlu berasa tergugat dengan kehadiran artis baharu kerana mereka adalah pelapis industri ini.

"Saya mahu menghasilkan album baharu kerana masih ada pengikut setia biarpun kerjaya saya tidak begitu menonjol kebelakangan ini namun sokongan daripada mereka masih kuat," katanya kepada mStar Online.

Kali terakhir Rem muncul dengan single terbaharu adalah pada tahun 2012 dengan Selalu Ada dan Nanti Bila Kaya (NBK) selain pernah menghasilakan empat buah album iaitu REM, Impian Cinta, Setiap Waktu dan Satu Suara.

Dalam pada itu, Rem berkata, untuk album terbaharunya itu nanti dia akan kembali mengekalkan konsep pop balada selepas menerima maklum balas daripada peminat tentang dua single terakhirnya sebelum ini.


Rem akan memastikan album terbaharunya nanti akan memenuhi citarasa peminat.



"Dua single sebelum ini berentak moden namun ia tidak begitu mendapat perhatian peminat yang rata-rata masih mahu saya menyanyikan lagu-lagu berentak balada," ujarnya.

Sementara itu, Rem memberitahu dia tidak menolak untuk bekerjasama dengan komposer muda dalam album terbaharunya itu nanti.

Jelas Rem, apa yang paling penting lagu yang diberikan berkualiti dan menepati citarasanya selain dapat memberi impak kepada kerjaya nyanyiannya.

"Untuk album baharu itu nanti saya tidak mahu terburu-buru dan akan memastikan saya mendapat lagu sesuai sebelum diperdengarkan kepada peminat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Rem berkata, dia masih aktif memenuhi undangan nyanyian terutamanya persembahan korporat yang mungkin tidak mendapat perhatian dan publisiti daripada pihak media.

Jelas Rem lagi, dia lebih selesa tidak muncul dalam mana-mana media sekiranya tidak mempunyai sebarang produk terbaharu untuk dipromosikan. 
Rem, Selingkar Kasih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain