suria

Lagu Ketuhanan Lufya Dikatakan Tidak Selari Dengan Imej Diri

Lufya anggap lagu ketuhanan menceritakan tentang dirinya mencari keredhaan Allah.
PETALING JAYA:  Penyanyi Lufya Omar berasa kesal apabila lagu keagamaan ciptaannya berjudul Doaku dikatakan tidak sesuai dengan imej, peribadi dan gaya hidupnya.

Lufya, 29, berkata, lagu tersebut dibuat dengan rasa ikhlas hati dan menceritakan tentang perasaan dirinya yang mahukan petunjuk.

"Saya rasa sebagai seorang muslim sama ada seorang muslim yang sempurna atau tidak kita tetap perlu berdoa kepada Allah.

"Salahkah saya menulis dan menyampaikan lagu berunsur keagamaan dan doa kerana saya juga seperti manusia lain yang sentiasa mencari hidayah dan petunjuk untuk pengakhiran hidup yang baik," katanya kepada mStar Online.

Lufya berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lagu tema drama Ramadan Jangan Pergi yang sedang ditayangkan di TV3 mendapat beberapa kritikan dan komen daripada pendengar di YouTube.

Dalam pada itu, Lufya memberitahu kerana lagu berunsur ketuhanan yang dicipta pada tahun 2012 itu juga dia sering kali dianggap sudah berhijrah dan berpenampilan berhijab.

"Ramai yang ingat saya sudah bertudung bila dengar lagu tersebut dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Alhamdulillah, saya hargai doa mereka semua, namun saya tidak mahu mereka salah faham tentang keadaan itu," katanya.

Dia juga tidak manolak persepsi tersebut timbul selepas membawakan watak Nadia yang berpenampilan bertudung dalam drama Ramadan Jangan Pergi  yang disiarkan setiap Selasa hingga Khamis, pukul 10 malam di TV3.
Lufya, Ramadan Jangan Pergi

Artikel Berikut

Artikel Lain