suria

Didie Alias Berdebar Menanti Kelahiran Anak

Didie berharap proses kelahiran anak keenamnya pada hujung bulan ini berjalan dengan lancar.

PETALING JAYA: Pelakon Didie Alias mengakui berasa berdebar untuk melalui proses kelahiran anak keenamnya yang dijangka pada hujung bulan ini selepas 15 tahun tidak melalui pengalaman itu.

Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, dia cukup risau dengan keadaan anak yang bakal dilahirkannya memandangkan dia pernah kehilangan anak selepas lima hari bersalin gara-gara bayi pramatang.

"Berdebar juga dibuatnya kerana tidak sampai sebulan, saya akan melahirkan anak dan kali terakhir saya bersalin adalah pada 15 tahun lalu.

"Saya harap bayi yang dilahirkan nanti matang kerana berdasarkan pengalaman lalu saya pernah kehilangan anak gara-gara tidak cukup bulan. Dan saya tidak mahu perkara perit itu berulang lagi," katanya kepada mStar Online.

Didie, bahagia di samping suaminya.

Tambah Didie, suaminya, Norisham Ismail pula sudah tidak sabar menantikan kelahiran bayi tersebut memandangkan ia merupakan anak sulung mereka sejak berkahwin pada tahun 2009.

Dalam pada itu, Didie berkata, dia bersyukur kerana sepanjang tempoh mengandung, rezekinya tidak pernah putus dengan adanya pelbagai tawaran lakonan dan pengacaraan.

"Alhamdulillah, bak kata orang, rezeki anak. Ada sahaja tawaran yang datang sampaikan saya terpaksa tolak kerana tidak larat nak terima semua.

"Buat saja apa yang terdaya tetapi sekarang ini tidak lagi. Selain itu ada-ada saja rakan artis hadiahkan barang-barang keperluan bayi, sampaikan saya pun tidak tahu nak beli apa lagi," selorohnya.

Didie mempunyai lima anak termasuk seorang anak lelaki iaitu Nur Dania, 20, Muhammad Danial, 20, Nur Dinie, 18, Nur Danie, 16 dan Nur Diana, 15, hasil perkahwinannya dengan aktor Ridzuan Hashim.

Didie Alias

Artikel Lain