suria

Norman Hakim Terkejut Rumah Tangga Abby Abadi Goyah

Abby Abadi bersama suaminya Muhammad Noor Farhan Che Bakar.
PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim terkejut apabila mengetahui rumah tangga bekas isterinya iaitu Abby Abadi dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang baru dibina sedang bergolak.

Norman berkata, sebaik sahaja mendapat tahu masalah itu dia segera menghubungi Abby untuk bertanya khabar selain mendoakan agar kedua-dua pihak menemui jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul.

"Saya sangat terkejut apabila isteri saya, Memey memberitahu dia terbaca kapsyen foto di Instagram Abby seolah-olah perkahwinan Abby sedang berhadapan dengan masalah.

"Sebagai bekas suami dan ayah kepada anak-anak Abby, sudah pasti saya mengambil berat terhadap masalahnya. Saya terus menghubunginya dan bertanya 'awak ok?'

"Dan Abby pula balas; 'Ok! Saya ada Allah...' Apabila dia hantar mesej seperti itu, saya tidak bertanya banyak perkara kerana menghormati privasinya," kata Norman yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

norman hakim
Norman Hakim


Terdahulu pada Sabtu lalu Abby memuat naik status pada Instagram miliknya seolah-olah rumah tangga dia berhadapan dengan ujian selain memohon peminat mendoakan kebahagiaan dia dan suami.

Status tersebut membuatkan ramai yang mengandaikan hubungan Abby dan Muhammad Noor Farhan sedang bergolak.

Dalam pada itu, tambah Norman, dia juga meminta orang ramai untuk berdoa agar pasangan berkenaan dapat menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin.

"Diharap kita semua berdoa sahaja untuk kebahagiaan Abby dan Farhan. Saya pun tidak mahu masuk campur urusannya. Moga masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan baik," ujarnya.

Abby atau nama sebenarnya  Arbaiyah Abdul Manan, 37, bernikah dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, pemuda yang 12 tahun lebih muda daripadanya pada 9 Julai 2013 iaitu sehari sebelum menjelangnya Ramadan.

Sebelum itu Abby pernah berkahwin dengan  Norman Hakim dan mereka dikurniakan tiga orang anak.

Norman kini suami kepada pelakon Memey Suhaiza.
Norman Hakim, Abby Abadi

Artikel Lain