suria

Azad Jazmin Bakal Berlakon Disamping Bintang Bollywood, Lara Dutta

Azad memberitahu peranan sebagai pendatang asing warga India dalam filem Kolumpo memberi tuah kepada kerjaya lakonannya.

PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin mengakui wataknya sebagai pendatang asing India dalam filem Kolumpo arahan Bront Palarae menjadi punca dia mendapat pelbagai tawaran berlakon di luar negara.

Azad atau nama sebenarnya  Azad Jazmin John Louis Jeffri, 38, berkata, biarpun dia pernah bersikap skeptikal terhadap peranan berkenaan namun bersyukur watak berkenaan berjaya mengubah kerjaya lakonannya.

"Pada mulanya saya skeptikal dengan pelawaan Bront apabila dia mahu saya membawakan watak sebagai pendatang asing warga India kerana saya bimbang peranan itu akan memusnahkan karier lakonan saya.

"Bagaimanapun ia menjadi sebaliknya kerana sejak Kolumpo ditayangkan di beberapa festival filem di luar negara saya mendapat beberapa tawaran dan saya berterima kasih terhadap Bront kerana percayakan bakat lakonan saya," katanya kepada mStar Online.

Pelakon itu bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Suatu Malam Kubur Berasap 2 pada 12 Jun depan.

Azad memberitahu dia juga menerima tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri terbitan saluran BBC di London.

Dalam pada itu, Azad berkata, sehingga kini dia masih tidak percaya apabila pihak penerbit sebuah filem Bollywood yang menampilkan pelakon terkenal Lara Dutta mahu dia berlakon disamping aktres jelita itu.

Jelas Azad, dia bertambah terkejut apabila diminta berlakon sebanyak 22 adegan sebagai pembantu kepada Lara dalam filem itu nanti.

"Saya kadang-kadang bingung kenapa saya dipilih dan ingatkan watak tempelan tetapi rupa-rupanya saya ada 22 babak bersama Lara.

Bagaimanapun saya sudah bersedia untuk menyahut cabaran itu dan ia adalah peluang terbaik bagi saya mengembangkan karier lakonan di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Kata Azad lagi, dia masih menunggu jadual penggambaran filem berkenaan yang dijangka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Azad turut memberitahu dia turut menerima satu lagi tawaran daripada rangkaian saluran televisyen BBC yang di London yang menawarkannya berlakon dalam sebuah drama bersiri.

Bagaimanapun kata Azad, dia masih belum membuat sebarang keputusan memandangkan ia memerlukan komitmen dan pengorbanan besar.

"Mereka mahu saya mengikat kontrak selama 5 tahun untuk siri berkenaan dan banyak perkara perlu saya ambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

"Tambahan pula saya masih mempunyai beberapa baki filem untuk diselesaikan bersama Grand Brilliance (GB) selain komitmen lain," ujarnya.

Pun begitu kata Azad, sebagai seorang anak tempatan dia berbesar hati dengan tawaran tersebut kerana ia sedikit sebanyak dapat mengharumkan nama negara di persada seni antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Azad  baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Kelip-Kelip bersama Keith Foo dan bakal menjalani sebuah lagi filem bertajuk Postcard From Italy.

Manakala beberapa filem lakonannya seperti Mamak Cupcakes, Showdown, Tujuh dan Kelip-Kelip sedang menunggu tarikh tayangan.

Azad Jazmin, Lara Dutta

Artikel Berikut

Artikel Lain