suria

Sidek Hussain Tidak Benarkan Anak Jadi Artis - Isteri

Pemergian Sidek dirasai semua pengiat seni hiburan.

PETALING JAYA: Isteri Allahyarham Sidek Hussain iaitu Selbiah Sulaiman, 61, mengakui pemergian pelakon itu merupakan kehilangan besar buat dirinya.

Selbiah berkata, Sidek bukan sahaja suami malah dianggap sebagai rakan baik yang sentiasa mendampinginya setiap masa.

"Saya rasa kehilangan besar kerana dia sahaja teman saya untuk kemana-mana. Kami hidup berdua sahaja kerana anak-anak sudah besar dan ada keluarga sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Sidek Hussain, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dekat sini kira-kira pukul 11.55 malam Ahad akibat kanser.

Allahyarham dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu apabila keadaan kansernya semakin serius iaitu pada tahap empat sehingga komplikasi penyakit itu merebak ke seluruh badan.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Batu 17, Selangor kira-kira pukul 12 tengah hari, Isnin.

Allahyarham mempunyai seorang anak dengan Selbiah iaitu Mohd Adam, 23, yang kini bertugas sebagai doktor pelatih di sebuah hospital di Sabah. Manakala empat orang anak daripada perkahwinan pertamanya  bertugas sebagai guru dan pegawai bank.

Dalam pada itu, Selbiah berkata, Allahyarham sempat meminta agar jenazahnya dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kuang, Selangor.

Allahyarham juga kata Selbiah tidak pernah mengalakkan anak-anaknya untuk menceburkan diri dalam dunia seni.

"Dia mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang tertentu, dia juga tidak pernah mengalakkan anak-anak mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni," katanya.

sidek hussain
Foto yang dirakamkan Utusan Malaysia ini menunjukkan Selbiah menjaga Sidek sepanjang Allahyarham di rawat di HKL.


Sementara itu, beberapa teman rapat menganggap pemergian Allahyarham seperti hilangnya satu bintang dalam dunia seni tanah air.

Pelakon Anjang Aki atau nama sebenarnya, Datuk Baharuddin Omar, 78, menganggap Allahyarham sebagai seorang yang dihormati dan mempunyai semangat tinggi dalam dunia lakonan.

"Saya berlakon dengan dia dalam drama berjudul Anjang Aki yang mana dia menjadi anak saudara saya. Lakonan dia sangat bagus dan sukar untuk mencari pelakon seperti dia," katanya.

mStar Default Image

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff Rosli (kanan) bersama rakan-rakan artis turut menziarahi Allahyarham dan memberi bantuan semasa hayatnya.

Tambahnya, biarpun sering membawakan watak antagonis dan garang, namun Allahyarham merupakan seorang yang sangat lembut dan baik hati.

Pelakon Abu Bakar Omar pula memberitahu kali terakhir bersembang dengan Allahyarham ketika dia pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada Jun tahun lalu.

"Saya berjumpa dia beberapa kali selepas di balik umrah dan dia berceritakan banyak perkara ketika berada di sana. Dia juga memberi cenderahati daripada Mekah kepada saya dan kawan-kawan," katanya.

Abu Bakar mengakui kehebatan Sidek dalam menghayati sesuatu watak memang tidak boleh disangkal.

Sementara itu Bekas Penerbit Drama RTM, Hasiah Ariffin berkata, Allahyarham merupakan seorang pelakon yang komited dan tidak pernah memilih watak biarpun pernah memenangi pelbagai anugerah. 

"Dia memulakan kerjaya lakonan di RTM dan turut membintangi beberapa drama bersiri popular ketika itu seperti Potret Pertiwi.

"Walaupun dia banyak mendapat tawaran daripada produksi luar dan memenangi pelbagai anugerah, namun dia tetap menerima tawaran drama daripada pihak RTM dan tidak berkira tentang bayaran yang diberikan," ujarnya.

Sidek yang banyak berlakon dalam drama-drama televisyen tempatan sebelum ini pernah menerima rawatan pakar di Hospital Sungai Buloh dekat sini tetapi pihak doktor tidak dapat melakukan pembedahan kerana ia berisiko  tinggi.

Selain kanser berkenaan, beliau turut mengalami masalah jantung dan paru-paru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain