suria

Kuah Jenhan Pelawak 'Bersih'

Jenhan tidak berminat untuk menggunakan politik dan menyentuh isu sensitif dalam persembahan lawak yang diadakannya.
PETALING JAYA: Pelakon komedi, Kuah Jenhan tidak berminat untuk menyentuh isu politik atau sesuatu kaum dalam persembahan lawak yang diadakannya.

Jenhan berkata, dia lebih selesa membuat stand up comedy yang menyentuh aspek kehidupan dan bercirikan hal-hal  tempatan yang dekat dengan hati masyarakat negara ini.

"Boleh saya katakan, saya seorang pelawak yang 'bersih' dan bersahaja dalam mengadakan persembahan lawak.

"Topik-topik berat seperti politik dan perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat lain bukan minat saya," katanya kepada mStar Online.

Untuk rekod, Jenhan yang berpengalaman sebagai pelawak selama lima tahun pernah terlibat dalam pementasan Lat The Musical, Lawak Ker Der 3 dan program Geng Lawak.

Jenhan juga aktif mengadakan persembahan pentas berbayar dalam dan luar negara yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Dalam pada itu, Jenhan mengakui bukan mudah untuk membuat persembahan lawak dalam bahasa Malaysia walaupun dia fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan itu.

Jenhan bagaimanapun berkata, dia sentiasa mencuba memperbaiki lawaknya dalam bahasa itu kerana ingin dikenali dikalangan peminat Melayu.

"Saya sudah terlibat dalam bidang lawak sejak lima tahun lalu tapi kebanyakkannya dalam bahasa Inggeris.
"Membuat lawak dalam bahasa Malaysia bukan mudah tetapi saya ingin terus mencuba supaya dapat dikenali dikalangan peminat Melayu," ujarnya.

Jenhan mahu dikenali dikalangan peminat berbangsa Melayu.

Tambahnya, pengalaman muncul dalam program Geng Lawak untuk mengadakan persembahan stand up comedy dalam bahasa Malaysia adalah pengalaman paling mencabar dalam kariernya.

Pun ia adalah pendedahahan yang bagus dan berguna untuk memperbaiki mutu persembahannya dalam bahasa itu.

"Seronok tetapi pada masa sama mendebarkan kerana saya tidak biasa buat persembahan dalam bahasa Malaysia dan ia pengalaman yang berharga buat diri saya," ujarnya.

Sementara itu, Jenhan berkata, dia belum terfikir untuk menyertai mana-mana program lawak seperti Maharaja Lawak Mega (MLM) bagi memperkenalkan dirinya dikalangan peminat Melayu.

Ini kerana  dia  ingin mencari pengalaman di pentas terlebih dahulu bagi memantapkan penggunaan bahasa Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Jenhan amat teruja menjadi pengacara bagi persembahan Minggu Setiausaha bersama penyanyi terkenal Indonesia, Krisdayanti yang bakal diadakan di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 17 April ini.


Kuah Jenhan, Pelawak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain