suria

Kutipan RM17 Juta Beri Tekanan Kepada Pengarah 'The Journey'

Pelakon dan pengarah filem The Journey semasa menghadiri tayangan perdana dokumentari berjudul End Credits yang diadakan di TGV One Utama pada Khamis. Foto ONG SOON HIN
PETALING JAYA: Pengarah The Journey mengakui kejayaan filem berkenaan yang mendapat kutipan tertinggi di Malaysia memberi tekanan kepadanya sebagai seorang pengkarya.

Chiu Keng Guan berkata, sebagai seorang pengarah dia tidak mahu mengulang formula sama kepada penonton sebaliknya ingin menghidangkan sesuatu yang baharu kepada mereka pada projek seterusnya. 

"Tekanan tersebut bukan untuk mengulang kejayaan The Journey sebaliknya saya perlu memikirkan perkara baharu untuk filem saya pada masa akan datang.

"Pada tahap ini saya sedar ramau yang sedang memerhatikan kemampuan saya untuk menghasilkan sebuah karya yang jauh lebih baik daripada filem itu dan bukannya tertumpu kepada berapa tiket yang mampu saya jual," katanya kepada mStar Online

Chiu ditemui pada majlis tayangan dokumentari khas filem berkenaan berjudul End Credits di TGV One Utama di sini, Rabu.

Pada majlis itu pelakon filem berkenaan iaitu Frankie Lee, Khong Tuck Khoon, William Khok dan Chong Nyuk Ling turut hadir pada acara itu.

The Journey tampil sebagai filem tempatan paling laris dalam sejarah perfileman apabila berjaya mendapat kutipan sebanyak RM17.16 juta sepanjang enam minggu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. 

Dalam pada itu, Chiu berkata, beliau sangat terharu dengan sokongan penonton daripada pelbagai bangsa terhadap filem itu dan tidak menyangka projek berkenaan mendapat sambutan hebat.

Chiu
Chiu terharu dengan sokongan rakyat Malaysia terhadap filem The Journey sehingga ia berjaya mengutip RM17.16 juta di pawagam.

Malah kata Chiu, dedikasi kesemua para pelakon filem berkenaan adalah tunjang utama kepada kejayaan filem ini.

"Hampir kesemua mereka adalah pelakon amatur dan pelbagai pengalaman kami timba bersama-sama dalam proses menyiapkan filem ini. Kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa mereka," jelasnya.

Tambah Chiu, buat masa ini dia masih belum merancang untuk menghasilkan filem terbaharu dan ingin memberi fokus kepada The Journey buat masa ini.
Sementara itu, bercakap mengenai dokumentari End Credits, Chiu berkata, ia memaparkan detik di sebalik tabir serta kehidupan mereka sebelum bergelar pelakon.

Jelasnya, program berdurasi selama 90 minit itu turut menonjolkan semangat kesemua individu dalam menjalani sebuah pengalaman berbeza yang mengubah kehidupan mereka.

Dalam perkembangan lain, Chiu berkata, The Journey bakal ditayangkan di Singapura bermula 20 Mac 2014 selain Taiwan pada April depan.

The Journey dan End Credits turut ditayangkan kepada semua pelanggan Astro melalui Astro First (Saluran 480) bermula Khamis (hari ini) dalam bentuk Definisi Tinggi (HD) dan Definisi Standard (SD) pada harga RM15 untuk jangka masa 48 jam.

Artikel Lain