suria

Peminat 'Love You Mr Arrogant' Ganggu Pengarah Drama

KUALA LUMPUR: Pengarah Love You Mr Arrogant, Eoon Suhaini mendedahkan diganggu peminat-peminat drama tersebut selepas nombor telefonnya digunakan pada episod pertama drama itu disiarkan pada 25 September lalu.

Eoon berkata, peminat yang menghubunginya terdiri daripada pelbagai negara termasuk Indonesia dan Dubai semata-mata untuk bercakap dengan pelakon wanita drama itu, Zara Zya.

"Sehingga sekarang telefon saya sering diganggu oleh peminat drama itu yang ingin bercakap dengan Zara.

"Perkara itu terjadi ketika penggambaran episod pertama kami terlupa membeli kad SIM baru untuk satu adegan yang memerlukan Zara menyebut nombor telefonnya," katanya kepada mStar Online ketika ditemui selepas Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur, di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Sabtu.

Bagaimanapun, dia mengakui secara tidak langsung perkara tersebut membolehkannya mendapatkan maklum balas tentang drama tersebut.

Katanya, dia tidak menjangka drama itu mendapat perhatian di Indonesia dan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

"Ramai yang hubungi saya bukan sahaja peminat dalam negara tetapi juga daripada Indonesia, ia mungkin juga saya ada menggunakan beberapa lagu Indonesia dalam drama tersebut.

"Selain itu, ramai juga penuntut-penuntut kolej dan universiti yang belajar di negara luar seperti Dubai yang menghubungi nombor ini," katanya.

Sementara itu, bercerita tentang drama tersebut Eoon berkata, cabaran utama adalah dalam menterjemahkan naskah novel itu kepada sebuah drama yang menarik.

Tambahnya, dia mahu menonjolkan sebuah konsep yang baharu dan lari daripada jalan cerita klise seperti dalam novel.

"Kalau kita lihat jalan ceritanya sangat klise iaitu perempuan yang dipaksa berkahwin dengan lelaki kaya, tapi saya cuba fikirkan bagaimana untuk menimbulkan adegan yang menarik.

"Alhamdulillah, saya juga mendapat barisan pelakon yang hebat dan ada keserasian," katanya.

Drama Love You Mr Arrogant arahan Eoon Suhaini dipilih sebagai Drama Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dalam acara yang berlangsung di Hotel Royale, Sabtu lalu.

Drama 26 episod ini turut mengangkat pelakon lelaki utama Azlee Khairi sebagai Pelakon Lelaki Pilihan.

Drama yang berjaya menarik tontonan lebih 4.6 juta penonton itu juga melayakkan gandingan Azlee Khairi dan Zara Zya dipilih sebagai Hero dan Heroin Pilihan.

Zara Zya, Love You Mr. Arrogant.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain