suria

Rozita Che Wan Tak Sanggup Bermadu

Rozita Che Wan
Rozita Che Wan

PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan mengakui dia tidak sanggup menerima kenyataan sekiranya dimadukan seperti yang dilalui segelintir wanita.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 41, bagaimanapun berkata, dia yakin suaminya, Zain Saidin, 30, seorang lelaki baik yang tidak mungkin terniat untuk berbuat demikian.

“Dalam kehidupan saya sebelum ini pun saya mengelak dan minta simpang dijauhkan untuk merampas suami orang. Tapi kalau ditakdirkan suatu hari nanti ia terjadi, saya terima.

"Nak buat macam mana kalau kita mengelak tetapi suami buat hal juga, reda saja. Tapi saya yakin Zain tak akan jadi sebegitu. Insya-Allah,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, dia hanya rela hidup berpoligami dalam kerjaya lakonannya sahaja menerusi sebuah telefilem khas terbitan Zeel Production berjudul Madu bersama barisan pelakon lain iaitu Zamarul Hisham, Shahrizal Jaszle, Syatilla Melvin, Aishah Ilias dan Ezzaty Abdullah.

Telefilem arahan Joeza itu mengisahkan Anita, lakonan Rozita, yang sanggup mencarikan calon isteri buat suaminya, lakonan Zamarul.

"Mungkin selama ini kita lihat ada golongan suami yang suka bermadu sama ada secara diam atau memohon kebenaran tetapi drama ini memaparkan kisah yang jarang terjadi apabila si isteri yang merelakan dirinya untuk dimadukan.

“Tapi syaratnya, Anita kena tentukan siapa calon madu yang sesuai untuk suaminya. Tapi yang dirancang tak menjadi seperti yang diharapkan," ujarnya.

Madu akan ditayangkan pada Ahad (hari ini) pada pukul 10 malam, di saluran TV3, menerusi slot Festival.

Sementara itu, ditanya pula mengenai perkembangan dirinya yang mungkin sudah berbadan dua, Rozita menafikannya dan menganggap dia dan Zain yang berkahwin pada 11 Disember lalu masih lagi belum mempunyai rezeki anak.

“Saya belum mengandung. Belum ada rezeki lagi. Tapi saya dan suami mengharapkan yang terbaik untuk itu. Kini pun kami masih dalam 'mood' berbulan madu," tuturnya.

Artikel Lain