suria

Fear Factor Malaysia: Astro Rujuk Jakim

Raqim Ahmad Ramli
Raqim Ahmad Ramli

PETALING JAYA: Program terbaharu Fear Factor Malaysia terpaksa melakukan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan cabaran yang memerlukan peserta memakan makanan pelik tidak dipertikaikan status halalnya.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, pihaknya telah menyenaraikan beberapa jenis makanan pelik terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Jakim sebelum ia dijadikan cabaran untuk peserta.

"Walaupun program Fear Factor di negara luar memberikan cabaran ngeri dengan meminta peserta makan makanan yang luar biasa, kita pula tidak boleh berbuat demikian.

"Dan sebagai langkah berjaga-jaga, pihak kami menjalinkan kerjasama dengan Jakim untuk memastikan cabaran memakan makanan pelik itu adalah halal," katanya.

Raqim ditemui pada majlis memperkenalkan 16 barisan peserta Fear Factor Malaysia di Talent Lounge, Menara Bata di sini pada Selasa.

Sebanyak 16 pasangan peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan di mana setiap pasangan terdiri daripada seorang selebriti dan peminat.

Kumpulan A menampilkan Ungku Ismail dan Fify, Syed Ali dan Tatt, Norman Hakim dan Zarina, Nas-T dan Kairul, Ryzal Jaafar dan Sam, Sari Yanti dan Anbia, Dira Abu Zahar dan Azura serta Erin Malek dan Redha.

Kumpulan B pula terdiri daripada Izzue Islam dan Emri, Shuib (Sepahtu) dan Zakaria, Bambang Soteto dan Faisal, Shah Iskandar dan Kartini, Yana Samsudin dan Janice, Azura Zainal dan Rachel serta Thanuja dan Joy.

"Pada setiap minggu, Kumpulan A dan B akan menempuh cabaran dan proses penyingkiran turut dilakukan pada setiap minggu.

"Ini bermakna para penonton hanya dapat menyaksikan peserta Kumpulan A pada minggu pertama manakala peserta daripada kumpulan B boleh ditonton pada minggu berikutnya sehinggalah ke peringkat akhir," ujar Raqim lagi.

Pasangan juara Fear Factor akan memenangi wang tunai sebanyak RM200,000 manakala pemenang bagi cabaran mingguan pula membawa pulang wang tunai RM10,000.

Fear Factor Malaysia akan mula bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 15 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).

Rakaman bagi cabaran ini di lakukan di Cape Town, Afrika Selatan pada Oktober tahun lalu.

Sebelum ini rancangan serupa muncul dengan menampilkan para artis sebagai pesertanya tanpa penglibatan peminat iaitu Fear Factor Selebriti Malaysia

Kedua-dua siri ini dihoskan oleh Aaron Aziz.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain