suria

Qi Razali Mahu Kekasih Berlakon Dalam Filem Pendek Arahannya

Qi bakal mengarahkan filem pendek pertamanya pada Mac depan.
Qi bakal mengarahkan filem pendek pertamanya pada Mac depan.

PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Qi Razali berhasrat untuk menyunting kekasihnya, Nelydia Senrose berlakon dalam filem pendek pertama arahannya.

Qi atau nama sebenarnya, Qushairi Razali, 36, berkata, pemilihan Nelydia bukan kerana dia kekasihnya tetapi yakin dengan kemampuan pelakon itu untuk membawakan watak yang diberikan nanti.

"Kami pernah berbincang mengenai perkara ini dan idea yang ingin saya ketengahkan dalam filem pendek itu nanti. Pemilihannya bukan bersifat peribadi tetapi yakin dia mampu membawa peranan itu nanti dengan baik," katanya kepada mStar Online.

Selain Nelydia, Qi berkata, dia juga berhasrat untuk mendapatkan Nabila Huda, Bront Palarae dan Beto Kusyairi berlakon dalam projeknya itu.

Dalam pada itu, Qi berkata, dia sudah lama memendam hasrat untuk mengarahkan filem berdurasi 10 minit itu yang mengangkat kisah percintaan.

Jelas Qi, dia ingin melihat sejauh mana kemampuannya dalam bidang pengarahan dan berharap ia akan diterima baik.

"Idea untuk menghasilkan filem itu sudah lama saya pendam dan sedang dalam proses meminta bantuan seorang kenalan untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk skrip.

"Penggambaran dijangka bermula pada Mac ini dan berharap stesen televisyen tempatan berminat untuk menayangkannya," katanya.

Bagaimanapun kata Qi, dia tidak berhasrat untuk berlakon bersama-sama dengan Nelydia dalam filem tersebut sebaliknya ingin memberikan tumpuan kepada pengarahan.

"Rasanya tidak perlu saya berlakon dalam filem ini kerana ia adalah projek pertama saya sebagai pengarah jadi tumpuan hanya diberikan kepada pengarahan sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Qi berkata, selepas sambutan Tahun Baru Cina, dia akan sibuk dengan penggambaran program travelog iaitu Destinasi Bajet Asia yang akan membawanya merantau ke pelbagai negara seperti Korea Selatan, India, Australia dan New Zealand.

Malah kata Qi, dia juga akan bertindak sebagai hos sebuah rancangan masakan selain bakal berangkat ke Argentina untuk penggambaran program Art Attack musim keempat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain