suria

Laporan Jadi Jutawan, Shila Amzah Bimbang Keselamatan Diri

Shila terkejut apabila laporan berita sebuah akhbar mengatakan dia sudah bergelar jutawan.
Shila terkejut apabila laporan berita sebuah akhbar mengatakan dia sudah bergelar jutawan.

PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah menyifatkan laporan sebuah akhbar pada Isnin lalu kononnya dia memperoleh pendapatan sebanyak RM2.5 juta setahun adalah mengarut.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 24, berkata, dia terkejut dikatakan sebagai jutawan muda sedangkan dia masih lagi bekerja keras untuk mengumpul wang membeli aset seperti rumah dan kereta.

"Terkejut juga apabila keluar berita seperti itu. Entah daripada mana sumber-sumber yang mereka peroleh mengesahkan saya seorang jutawan pun saya tidak tahu.

"Mungkin pihak yang membuat laporan tersebut salah faham. Memang benar selepas menang sebagai juara pada pertandingan Asian Wave di China tahun lalu, saya mendapat dana sebanyak RM5 juta untuk mengembangkan karier nyanyian dia negara itu.

"Bukannya dapat RM5 juta secara tunai sekali gus tetapi ia termasuk nilai kontrak dan perkara-perkara lain. Wah, kalau macam itu, seronoklah saya kalau dapat wang tunai RM5 juta," katanya kepada mStar Online.

Shila ditemui pada sidang media khas mengenai perkembangan terbaharunya di pejabat syarikat rakaman Warner Music Malaysia di sini pada Rabu.

Tambah Shila lagi, laporan seperti itu membuatkan dia turut risau kerana keselamatannya mungkin boleh diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengenai perkembangan terbaharu, Shila bersama tiga penyanyi tempatan iaitu Goldkartz, ThomasJack dan Azlan And The Typewriter akan mewakili negara ke Marche International du Disque et de l’Edition Musicale (MIDEM) di Cannes, Perancis pada 3 Februari depan.

Delegasi itu akan diketuai di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Pada hari itu, saya akan menyampaikan sebanyak empat buah lagu iaitu Masih Aku Cinta, Sedar, sebuah lagu Inggeris dan satu lagi dalam bahasa Mandarin.

"Selain itu saya juga dicalonkan dalam World Music Awards (WMA) bagi kategori Artis Wanita Terbaik, Persembahan Secara Langsung Terbaik, Muzik Video terbaik, Lagu Terbaik dan Hiburan Tahunan Terbaik. Tetapi tarikh bagi anugerah itu masih lagi belum ditetapkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Shila turut meluahkan rasa gembira apabila terdapat sebuah syarikat yang ingin menganjurkan sebuah konsert berskala besar untuknya.

Kata Shila, dia tidak sangka ada pihak sudi menaja konsertnya itu, namun tidak mahu mendedahkan lagi lebih lanjut mengenai persiapan konsert tersebut.

"Insya-Allah, saya akan membuat sidang media berhubung konsert ini dalam masa terdekat nanti. Apa yang saya boleh katakan, kami sudah pun membincang konsep konsert yang bakal dibawakan. Moga perancangan itu menjadi," tuturnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain