suria

Nabila Huda Akui Sukar Lakonkan Watak Saloma

Nabila Huda
Nabila Huda

PETALING JAYA: Pelakon Nabila Huda memberitahu drama lakonannya mengenai biduanita, Puan Sri Saloma antara kerja lakonan yang paling sukar untuk dilakukan.

Nabila yang menggalas tanggungjawab sebagai Saloma itu berkata, walaupun dilihat mudah, namun watak tersebut agak sukar untuk diserasikan dalam diri pada awal penggambaran sekitar hujung tahun lalu.

"Apabila diberi watak sebagai Saloma, saya cukup teruja dan mula menonton klip-klip video temu bual serta beberapa filem sebagai rujukan sebelum ke set penggambaran.

"Agak susah juga pada mulanya, sebab banyak perkara yang perlu dijaga terutamanya lenggok badan bagi setiap pergerakan yang dilakukan selain percakapan. Rasanya, drama ini antara yang paling susah pernah saya lakukan," katanya kepada mStar Online.

Drama berkenaan bakal disiarkan menerusi saluran Astro.

Tambah Nabila, kesukaran yang dirasai mula berkurangan apabila dia mula menjiwai watak berkenaan dengan bantuan pengarahnya, yang juga anak saudara kepada Saloma iaitu Melissa Saila.

"Dalam drama tersebut, saya juga banyak menyanyi dengan cara ‘ajuk semula’ di mana lagu-lagu Saloma itu dinyanyikan semula oleh Liza Hanim. Nampak mudah tetapi sebenarnya susah.

"Kamu semua perlu dengar suara kak Liza, gaya nyanyiannya seperti Saloma," ujarnya.

Selain Nabila, pelakon Sazzy Falak turut terlibat dalam drama tersebut.

Penggambaran drama itu telah dijalankan di Pulau Pinang di mana kesemua pelakon diubah imej seperti pada zaman 1950-an.

Dalam perkembangan lain, lakonan Nabila turut dapat disaksikan menerusi drama Ariana Rose yang disiarkan di TV3 bermula 30 Disember 2013 setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam.

Artikel Lain