suria

Liza Juara Projek Metro Musim Pertama

Liza berjaya bergelar juara program Projek Metro musim pertama.
Liza berjaya bergelar juara program Projek Metro musim pertama.
Liza berjaya bergelar juara program Projek Metro musim pertama.

SHAH ALAM: Peserta dari Kuantan, Pahang iaitu Khairu Norliza Khairudin telah diumumkan sebagai juara program Projek Metro musim pertama selepas berentap selama lapan minggu pada acara yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini, malam Ahad.

Liza, 27, berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan kontrak selama setahun bersama Kumpulan Media Prima Berhad.

Turut bertanding pada peringkat akhir itu adalah Nurfakhira Che Abdul Muhsin atau Iera Fakhira, 24, Nur Hafizah Md Saad (Fiza), 25 dan Muhammad Taufiq Abd Rahman, 19.

Pada pertandingan peringkat akhir ini para peserta diadili menerusi tiga pusingan dan pada segmen pertama mereka diadili pada tugasan luar iaitu pencapaian secara keseluruhan dalam khidmat masyarakat, segmen radio dan penulisan.

Dalam pusingan ini, peserta tunggal lelaki iaitu Taufiq telah diumumkan sebagai finalis yang mendapat markah paling rendah dan terpaksa disingkirkan pada malam itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Seelan Paul.

Pusingan kedua memperlihatkan tiga peserta iaitu Fiza, Liza dan Iera Fakhira diuji kredibiliti mereka sebagai pengacara TV dan mereka perlu mengendalikan satu segmen program bersama tetamu khas seperti Wanita Hari Ini, Tunggu Sekejap dan Muzik-Muzik.

Manakala pada cabaran terakhir ketiga-tiga finalis perlu menjawab satu soalan yang disediakan barisan juri sebelum juara diumumkan.

Dua juri tetap yang mengadili para peserta terdiri daripada Roslen Fadzil dan Fasha Sandha.

Seelan Paul bertindak sebagai juri jemputan.

Kemuncak Projek Metro dimeriahkan oleh persembahan nyanyian daripada artis popular seperti Salam Musik, Akim Ahmad, Alif Satar, Alyah dan Ella.

Program itu dihoskan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail dan disiarkan secara langsung di TV3.

Artikel Lain