suria

Pemilik Asal 'The Hobbit' Saman Warner Bros

Harvey Weinstein
Harvey Weinstein
Harvey Weinstein

WARNER Bros, pemilik studio Hollywood mendakwa penerbit bersaudara Bob dan Harvey Weinstein cuba untuk menulis semula sejarah perjanjian antara kedua-dua pihak apabila mereka menyaman studio berkenaan untuk memperoleh sebahagian daripada keuntungan daripada penayangan trilogi filem The Hobbit.

Weinstein bersaudara itu telah memfailkan saman ke atas New Line Cinema dan Time Warner dengan tuntutan sebanyak RM242 juta dalam bentuk ganti rugi kerana mendakwa studio berkenaan telah menjadikan filem tersebut kepada tiga siri tetapi mereka hanya dibayar keuntungan daripada sebuah filem The Hobbit. sahaja.

“Kes ini adalah berkenaan dengan sikap tamat dan tidak berterima kasih,” demikian menurut Weinsteins bersaudara dalam kenyataan saman mereka di mahkamah New York, sebagaimana yang dipetik oleh majalah hiburan Variety.

Weinsteins bersaudara sebelum ini adalah pemilik studio Hollywood iaitu Miramax dan mereka telah melabur RM32.3 juta dalam membentuk jalan cerita The Hobbit apabila New Line membeli hak penciptaan ke atas filem tersebut pada 1998 dan bersetuju untuk membayar 5 peratus daripada keuntungan filem berkenaan kepada dua bersaudara itu.

Bagaimanapun Warner Bros dalam satu kenyataan balas menegaskan bahawa Weinsteins bersaudara sepatutnya lebih teliti ketika mereka menjual Miramax kepada New Line Cinema dan Warner Bros dahulu.

Jurucakap Warner Bros, Paul McGuire menjelaskan apa yang berlaku adalah kesilapan Weinsteins bersaudara sendiri dan kesilapan itu adalah kesilapan yang paling besar dalam sejarah Hollywood.

“Lima belas tahun dahulu Miramax, yang dimiliki oleh Weinstein bersaudara ini telah menjual hak cipta The Hobbit kepada New Line Cinema. Perjanjian penjualan itu dengan jelas menyatakan yang mereka berhak untuk berkongsi keuntungan ke atas filem The Hobbit yang berjaya mengutip keuntungan sehingga RM32.3 bilion di pawagam di seluruh dunia.

“Tetapi mereka sendiri yang bersetuju untuk menerima bayaran hanya daripada hasil pembikinan filem yang pertama mengenai trilogi The Hobbit dan itu sahaja hak yang mereka ada iaitu ke atas pembikinan filem yang pertama. Ia termaktub di dalam perjanjian kami,” jelas McGuire.

Pertelingkahan berhubung isu perundangan dan hak milik filem ini muncul ketika sekuel kedua The Hobbit: The Desolation of Smaug, akan muncul di pawagam menjelang sambutan Krismas ini.

Tahun lalu filem pertama dari siri The Hobbit dengan judul An Unexpected Journey telah berjaya membuat kutipan pecah panggung di seluruh dunia.

Kisah terakhir daripada trilogi ini dengan judul The Hobbit: There and Back Again dijangka masuk panggung pada Disember 2014 iaitu setahun dari sekarang.

Ketiga-tiga filem tersebut diarahkan oleh Peter Jackson, seorang pengarah yang berasal dari New Zealand.

Artikel Lain