suria

Rossa Tidak Ajar Anak Hidup Mewah

Rossa mahu anaknya, Rizky belajar hidup sederhana.
Rossa mahu anaknya, Rizky belajar hidup sederhana.
Rossa mahu anaknya, Rizky belajar hidup sederhana.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia Datuk Rossa tidak gemar memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 7, untuk hidup dalam suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata, dia juga tidak pernah membeli barangan mainan mahal untuk Rizky kerana bimbang anaknya itu tidak faham erti kesusahan apabila besar kelak.

"Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu.

"Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya, saya berikan kepada pembantu rumah untuk disimpan," katanya.

Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.

Bagaimanapun tambah Rossa, dia faham situasi Rizky yang kadang-kala mungkin berasa keliru kerana sering mendapat layanan mewah ketika mengikutinya ke majlis-majlis tertentu tetapi kemudian dibesarkan secara sederhana apabila di rumah.

"Memandangkan Rizky sering mengikuti saya mengadakan persembahan di majlis-majlis korporat, dia berasa seronok dengan layanan yang diterima dan apabila menginap di hotel bukan bertaraf lima bintang, dia berasa pelik dan bertanya kepada saya 'kenapa keadaan hotel ini rasa lain?'.

"Terus, saya jelaskan bahawa kita perlu berasa selesa dan sentiasa rendah diri tidak kira di tempat mewah atau sederhana.

"Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta ayahnya potong barisan dan berkata 'kita kan artis'. Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling. Bagaimanapun saya lihat lama kelamaan dia faham erti bersikap sederhana," selorohnya.

Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah.

Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134)

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain