suria

Karier Seni Nik Michael Lebih Mudah Kerana Wajah Kacukan

Nik Michael mengakui wajah kacukannya banyak membuka ruang kepadanya dalam bidang masakan dan pengacaraan.
Nik Michael mengakui wajah kacukannya banyak membuka ruang kepadanya dalam bidang masakan dan pengacaraan.
Nik Michael mengakui wajah kacukannya banyak membuka ruang kepadanya dalam bidang masakan dan pengacaraan.

PETALING JAYA: Bekas peserta program Masterchef Malaysia musim pertama, Nik Michael tidak menolak wajah kacukan yang dimiliki menjadi penyebab perjalanan kariernya sebagai seorang selebriti chef lebih mudah.

Nik Michael atau nama sebenarnya, Nik Michael Imran Nik Ezar, 23, yang berdarah Melayu dan Inggeris (Australia) itu bagaimanapun berkata, dia tidak mahu dinilai berdasarkan rupa sebaliknya bakat yang dimilikinya dalam kedua-dua bidang tersebut.

"Dalam menarik penonton untuk menonton sesebuah rancangan rupa paras adalah elemen penting dan saya bersyukur kerana perjalanan karier dipermudahkan kerana keunikan saya.

"Bagaimanapun rupa yang ada tidak akan bererti sekiranya tanggungjawab dan amanah yang diberikan tidak dilunaskan dengan sebaik-baiknya," katanya kepada mStar Online.

Tambah Nik Michael, seperti mana orang lain, perjalanan kariernya dalam bidang masakan dan pengacaraan bermula daripada bawah dan tidak mengecap kejayaan dengan sekelip mata.

"Jika kita mahukan sesuatu usaha dan kesabaran adalah elemen paling penting dan bukannya mengharapkan sesuatu itu jatuh ke atas riba kita," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nik Michael memberitahu, dia ada menerima tawaran berlakon daripada beberapa produksi namun terpaksa menolak kerana ingin memberi fokus kepada bidang masakan dan pengacaraan.

"Saya tidak layak untuk berlakon kerana tidak mempunyai bakat walaupun ada yang menawarkan peranan kepada saya dan lakonan bukanlah kepakaran saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Nik Michael memberitahu selain sibuk mengacarakan beberapa buah program masakan dia tetap meluangkan masa dengan tugas baharunya sebagai pemilik restoran PickNik yang terletak di Solaris Dutamas, Publika di sini.

Nik Michael berkata, dia cukup teruja dengan pembukaan restoran tersebut sejak beberapa bulan lalu dan bapanya, Datuk Nik Ezar Nik Bolia yang juga seorang chef adalah inspirasi terbesarnya.

"Saya cukup seronok dapat memasak dan membuat orang lain tersenyum dengan hidangan yang disediakan dan sukar saya gambarkan perasaan itu.

"Sebelum ini saya hanya masak untuk kenalan rapat dan keluarga sahaja tetapi kini semakin ramai dapat menikmati masakan daripada hasil air tangan saya," katanya yang mula memasak sejak berusia sembilan tahun.

Pernah mengacarakan program Helo Bro...Tolong Masak, Nik Michael turut mengacarakan program Dapur Panas, Remaja Extreme dan terbaharu Tea Twist untuk saluran AFC Food Channel.

Artikel Sebelum

Watie Juara Ratu Rania

Artikel Berikut

Artikel Lain