suria

Joe Flizzow Tuntut AIM Kaji Semula Kelayakan Lagu Hip-Hop

Joe Flizzow
Joe Flizzow
Joe Flizzow

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan komposer Joe Flizzow kesal dan berharap garis panduan yang ditetapkan dalam pencalonan bagi kategori hip-hop pada Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) dapat dikaji semula oleh pihak penganjur.

Joe atau nama sebenar Johan Ishak, 35, berkata, garis panduan yang tidak jelas dan mengelirukan banyak pihak membuatkan kebanyakan artis dalam genre tersebut enggan mencalonkan diri di AIM.

"Saya sudah empat tahun tidak hantar penyertaan di AIM kerana garis panduan mereka keliru dan tidak jelas, malah ada beberapa perkara yang saya tidak setuju yang mana ia menyekat karya seni kami dalam genre ini.

"Mereka seharusnya melonggarkan beberapa perkara atau berbincang dengan beberapa pihak yang arif tentang genre ini untuk kaji semula garis panduan itu. Jika tidak baik tidak perlu adakan anugerah untuk kategori tersebut," katanya ketika ditemui mStar Online.

Tambahnya, ramai penyanyi hip-hop yang berjaya mengembangkan bakat mereka ke peringkat antarabangsa namun tidak dapat diiktiraf melalui anugerah yang dianjurkan di negara ini.

"Pihak AIM kata kurang pencalonan daripada penyanyi hip-hop namun masalah sebenarnya ialah garis panduan tersebut merumitkan kami untuk mencalonkan karya-karya kami.

"Contohnya salah satu garis panduan ialah perlu 60 peratus karya dalam bahasa Melayu tapi bagaimana penyanyi hip-hop dalam bahasa Cina, India atau bahasa lain yang mana ada beberapa orang daripada mereka sudah terkenal dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Jika begitu lebih baik mereka buat kategori tersebut sebagai lagu hip-hop terbaik Bahasa untuk bahasa Melayu sahaja," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang lagu terbaharu berjudul Havoc yang mengandungi hampir 60 peratus bahasa pasar tidak dimainkan di mana-mana stesen radio milik RTM Joe berkata, ia bukan suatu perkara baharu.

"Sejak saya bersama Too Phat lagi, lagu-lagu kami banyak di 'band' oleh pihak RTM kerana mereka kata tidak menepati syarat dan tidak memuaskan terutamanya penggunaan bahasa.

"Namun saya tidak kisah kerana bagi saya hip-hop adalah seni dan dalam seni mereka tidak boleh menyuruh saya melukis itu dan ini kerana ia adalah apa yang saya ingin lakukan mengikut cara saya.

Jika mereka (RTM) tidak siarkan banyak lagi radio lain yang siarkannya," katanya.

Tambahnya, biarpun terlalu banyak sekatan dan peraturan yang ditetapkan, perjuangannya terhadap genre tersebut akan tetap diteruskan agar ia diterima masyarakat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain