suria

Konsert Bantu Artis YA1M Ditunda 3 November 2013

DJ Dave memberitahu Konsert amal "Satu Suara Satu Matlamat" anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) ditunda kerana ingin memberi laluan kepada Pemilihan Umno yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 hingga 19 Oktober 2013 lalu. Foto BRIAN MOH.
DJ Dave memberitahu Konsert amal
DJ Dave memberitahu Konsert amal "Satu Suara Satu Matlamat" anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) ditunda kerana ingin memberi laluan kepada Pemilihan Umno yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 12 hingga 19 Oktober 2013 lalu. Foto BRIAN MOH.

KUALA LUMPUR: Konsert amal "Satu Suara Satu Matlamat" anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) yang sepatutnya berlangsung pada 5 Oktober lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah ditunda pada 3 November depan.

Pengerusi yayasan itu, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave berkata, penundaan tersebut bukan disebabkan penjualan meja yang lembab sebaliknya ia dianjak ke tarikh baharu kerana ingin memberi laluan kepada Pemilihan Perwakilan Umno yang berlangsung pada 8 hingga 19 Oktober lalu di tempat sama.

"Perancangan asal terpaksa ditundaa kerana PWTC digunakan untuk pemilihan Umno dan setakat meja telah berjaya dijual sebanyak 50 peratus.

"Pihak kami menyasarkan sebanyak 70 hingga 80 peratus meja dapat dijual pada malam itu nanti," katanya pada sidang media penganjuran konsert dan majlis penyampaian sumbangan wang ihsan kepada artis veteran, di Restoran Riverside PWTC, di sini, Rabu.

Konsert tersebut diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu artis memerlukan dan memastikan golongan artis veteran terus menerima bantuan.

"Kami akan mengutip derma untuk mengisi tabung kebajikan yayasan dan objektif adalah untuk menghargai artis tanah air yang telah menyumbang dalam pembangunan industri hiburan tempatan.

"Ia juga sebagai titik tolak dan pemangkin dalam usaha YA1M untuk menjadi satu badan yang diurus selia secara profesional yang tidak mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak," katanya.

Tambahnya, seramai 10 orang artis popular yang terdiri daripada golongan baharu dan lama akan membuat persembahan istimewa untuk menghiburkan tetamu.

"Kami akan tampilkan lebih kurang 10 orang artis baru dan lama dalam tempoh lebih kurang sejam persembahan.

"Konsert ini akan diadakan dengan cara penjualan meja dan ia akan diuruskan oleh tenaga kerja YA1M sepenuhnya," kata DJ Dave.

Antara artis yang bakal memeriahkan konsert itu adalah Datuk M. Nasir, Datuk David Arumugam, Fredo (Flybaits), Fauziah Latif, Marsha, Hafiz, Jimmy Palikat, Soo Wincci, Lockup dan Najwa Latif.

Tambahnya, hasil kutipan konsert tersebut akan disalurkan kepada yayasan sebagai dana untuk keperluan artis.

Sementara itu pada majlis tersebut, YA1M turut menyampaikan sumbangan wang ihsan kepada 21 orang artis veteran yang berumur 60 tahun ke atas bersempena Hari Deepavali.

Antara artis yang menerima bantuan adalah Kunji Krishnan, Annatham Manickam, Liew Choon, Sidek Husin Raja Norbaizura, Aripah Damanhuri, Adibah Yaakob dan Omar Abdullah.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah barisan ahli jawatankuasa YA1M yang terdiri daripada Datuk M Nasir, Datuk A.Rahman Hassan dan Nancie Foo.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain