suria

Kontroversi Gafim, Finas Akhirnya Selesai

Dari kiri Ismail Ahmad, Yusof Haslam, Jurey Latiff dan Khair Mohd. Noor.
Dari kiri Ismail Ahmad, Yusof Haslam, Jurey Latiff dan Khair Mohd. Noor.
Dari kiri Ismail Ahmad, Yusof Haslam, Jurey Latiff dan Khair Mohd. Noor.

PETALING JAYA: Kontroversi melibatkan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akhirnya menemui noktah apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan masalah dengan lebih berhemah.

Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, dalam pertemuan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Finas iaitu Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah itu, mereka mencapai kesepakatan untuk mengadakan perjumpaan sekiranya timbul masalah membabitkan industri seni.

“Dalam pertemuan ini kedua-dua pihak bersepakat untuk menyelesaikan masalah tanpa berlakunya kekecohan. Lepas ni tak perlu lagi nak buat riuh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Gafim dan Finas di pejabat Finas cawangan Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Terdahulu Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), menerusi mStar Online terbitan 24 September lalu menyelar Finas kerana mendakwa agensi itu tidak lagi agresif dalam menangani sebarang masalah berkaitan industri perfileman negara.

Malah Jurey juga menuntut agar pihak berkenaan mengadakan pertemuan dengan persatuan seni bagi mencari jalan menyelesaikan banyak masalah dalam industri berkenaan.

Selain Jurey, gabungan persatuan dalam Gafim turut disertai Presiden Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima), Khair Mohd Noor, Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Othman Hafsham, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Presiden Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam), Ismail Ahmad dan Produser Skop Production, Datuk Yusof Haslam.

Jurey berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama agar industri seni dapat dipertingkatkan menerusi Finas.

“Saya berpuas hati apabila Ketua Pengarah memberi jaminan untuk mendengar masalah kami selain berkata pintu pejabatnya terbuka untuk menerima kedatangan kami bagi membincangkan masalah,” ujarnya.

Selain itu katanya, pihak Finas juga turut bercadang menubuhkan satu jawatankuasa bagi membendung gejala cetak rompak yang sekian lama berleluasa dalam usaha menyelamatkan industri filem tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain