suria

Kemelut Mungkin Berakhir, Finas Temui Gafim Esok

Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff Rosli

PETALING JAYA: Kemelut di antara Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mungkin menemui noktahnya apabila agensi itu akhirnya akur untuk mengadakan pertemuan yang akan berlangsung pada Khamis (esok).

Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya sudah menerima jemputan daripada perbadanan itu yang bersetuju mengadakan pertemuan di pejabat Finas cawangan Petaling Jaya pada pukul 10 pagi.

“Akhirnya pihak kami berasa lega apabila Finas akur untuk berjumpa wakil persatuan seni bagi membincangkan pelbagai masalah dalam industri filem yang sedang berlaku.

“Kami harap pertemuan ini akan membawa keputusan yang baik,” katanya dalam satu kiriman mesej kepada mStar Online di sini pada Rabu.

Terdahulu Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), menerusi mStar Online terbitan 24 September lalu menyelar Finas kerana mendakwa agensi itu tidak lagi agresif dalam menangani sebarang masalah berkaitan industri perfileman negara.

Malah Jurey juga menuntut agar pihak berkenaan mengadakan pertemuan dengan persatuan seni bagi mencari jalan menyelesaikan banyak masalah dalam industri berkenaan.

Dalam pada itu Jurey berkata, pada pertemuan itu nanti pihaknya akan mengemukakan beberapa usul termasuklah mengenai pindaan akta Finas, peranan agensi itu selepas bergabung dengan Filem Negara Malaysia, perancangan masa depan dan hala tuju, isu-isu semasa industri perfileman dan juga status Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM-26).

Ujarnya, selepas perbincangan itu pihaknya akan mengadakan sidang media bagi berkongsi inti pati dan hasil yang diperoleh berdasarkan pertemuan terbabit.

“Saya dimaklumkan pihak Finas enggan menyertai sidang media berkenaan tetapi pihak kami akan tetap berkongsi hasil terhadap perbincangan itu,” katanya.

Selain PTVM, Gafim adalah gabungan persatuan seni yang turut disertai antaranya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Pencipta Lagu Tanah Air (Papita), Persatuan Penyiar Malaysia (Penyiar), Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam) dan Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia (Profima).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain