suria

Isu Cetak Rompak, Yusof Haslam Ralat Dengan Finas

Dari kiri; Richard Ang, Yusof Haslam, Jurey Latiff, Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Othman Hafsham.
Dari kiri; Richard Ang, Yusof Haslam, Jurey Latiff, Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Othman Hafsham.
Dari kiri; Richard Ang, Yusof Haslam, Jurey Latiff, Zed Zaidi, Yusof Kelana dan Othman Hafsham.

KUALA LUMPUR: Penerbit filem KL Gangster 2 Datuk Yusof Haslam berasa ralat apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tidak memberi respons mengenai karyanya yang dicetak rompak sebulan sebelum tayangan.

Yusof berkata, sepatutnya pihak Finas perlu prihatin mengenai isu tersebut memandangkan filem bernilai RM4.5 juta itu turut menyumbang terhadap usaha membangunkan kemajuan industri perfileman negara.

"Ketika kekecohan berhubung KL Gangster 2 dicetak rompak, pihak Finas tidak memberikan sebarang respons pun tentang isu ini.

"Saya ada menghubungi Ketua Pengarah Finas (Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah) dan katanya dia akan membantu untuk menangani masalah ini. Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan yang dibuat," katanya.

Yusof ditemui pada sidang media khas bagi membincangkan mengenai topik 'Masih Relevenkah Finas' yang dianjurkan Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim) di pejabat persatuan tersebut di Desa Melawati di sini pada Khamis.

Selain Yusof, hadir sama penggiat seni tanah air antaranya Zed Zaidi, Richard And, Jurey Latiff Rosli, Yusof Kelana dan Othman Hafsham.

Tambah Yusof, kenyataannya bukan kerana ingin memperkecilkan tanggungjawab agensi berkenaan sebaliknya mahu mereka lebih peka dan saling membantu menangani masalah-masalah yang berlaku dalam industri filem tempatan.

"Saya percaya Finas masih relevan kerana turut berjasa dalam industri. Dan inilah masanya untuk kita semua bertindak menangani isu cetak rompak yang sejak dulu lagi tidak pernah selesai.

"Malah 'penyangak' cetak rompak sedikit pun tidak berasa takut dengan pihak berkuasa kerana kita sendiri tidak menangani isu ini sewajarnya," ujarnya.

Sementara itu presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, sidang media dibuat bukan kerana mahu berkonfrontasi dengan pihak Finas namun pihaknya mendesak agar agensi itu segera mengadakan pertemuan dengan penggiat seni dalam menyelamatkan industri.

Jurey berkata, kelantangannya bersuara mengenai sikap sambil lewa Finas juga bukan kerana ingin menjatuhkan agensi tersebut.

"Finas perlu tahu bahawa mereka dan industri mesti saling bekerjasama. Ini tidak, sejak pelantikan Ketua Pengarah baharu tahun lalu, pihak mereka langsung tidak bertemu dengan persatuan-persatuan filem untuk membincangkan hal industri.

"Saya faham Finas juga mungkin ada masalah lain yang kami tidak tahu. Sebab itu mereka perlu bertemu dengan orang industri agar sama-sama dapat berbincang bagi menangani masalah," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain