suria

Jurey Latiff Dakwa Finas Tak Buat Kerja

Jurey Latiff
Jurey Latiff
Jurey Latiff

PETALING JAYA: Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli menyifatkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) tidak lagi agresif seperti dahulu dalam menangani sebarang masalah yang timbul dalam industri perfileman negara.

Jurey berkata, pihak Finas dilihat seperti tidak menjalankan tanggungjawab mereka sebagai badan yang membantu industri sepanjang tahun ini walaupun banyak isu berbangkit yang telah berlaku dalam industri.

"Apabila kita lihat balik sepanjang tahun ini, pernah tak Finas membantu menangani masalah perfileman kita? Dan yang terbaharu, isu filem KL Gangster 2 dicetak rompak sebelum tayangannya, adakah pihak mereka mengambil sebarang tindakan?

"Langsung tidak. Sedangkan sepatutnya Finas perlu mengumpul agensi-agensi tertentu dan membuat perbincangan, seterusnya mengambil tindakan. Ini tidak, Senyap saja. Mereka diibarat macam dah tak buat kerja," katanya kepada mStar OnlineM.

Tambah Jurey, dia juga terkilan apabila tidak diberitahu mengenai sebarang peruntukan yang disediakan buat persatuan-persatuan seni tempatan yang semakin kekurangan dana dalam ingin melaksanakan akiviti masing-masing.

Dalam pada itu, Jurey berkata, sikap berdiam diri yang diambil oleh pihak Finas boleh membuatkan industri perfileman tempatan 'nazak' lebih-lebih lagi dengan pelbagai masalah yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Jurey turut mempertikaikan mengenai peranan Finas selepas bergabung dengan Filem Negara Malaysia yang langsung tidak menunjukkan kerjasama positif dalam industri.

"Saya tak faham, selepas Finas bergabung dengan Filem Negara Malaysia. Apa yang mereka buat?

"Apabila ditanya, mereka hanya jawab yang Finas kini sudah mampu menerbitkan drama sendiri. Adakah peranan mereka kini seperti syarikat produksi biasa lain, membuat perniagaan penerbitan pula? Mereka yang keluarkan lesen, mereka juga yang terbit. Pelik bunyinya," tegas Jurey.

Sementara itu, bagi mendapatkan penjelasan di pihak Finas pula, Ketua Pengarahnya Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah pula gagal dihubungi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain