suria

Pekerja Seni Dapat Pengiktirafan CCIG

Jurey Latiff
Jurey Latiff
Jurey Latiff

HULU KLANG: Seramai 69 pekerja seni tempatan mendapat pengiktirafan daripada Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), bagi membolehkan kerjaya mereka diiktiraf oleh semua pihak khususnya membabitkan industri kreatif negara.

Pengerusi CCIG, Jurey Latiff Rosli berkata, pengiktirafan yang diberi itu berdasarkan kepada bidang masing-masing membabitkan tiga peringkat terdiri profesional, lanjutan serta perakuan asas.

"CCIG sememangnya dikenali bagi meningkatkan taraf profesionalisme dalam industri seni negara seperti yang diinginkan pihak kerajaan.

"Sebagai langkah permulaan, kami membuat pengiktirafan mengikut taraf tertentu iaitu profesional, lanjutan dan perakuan asas. Di mana menerusi pengiktirafan tersebut para pekerja seni akan mendapat faedah bagi memudahkan mereka mendapat geran atau peruntukan untuk menghasilkan sesebuah penerbitan," katanya.

Jurey ditemui pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dengan CCIG di pejabat CCIG, Ukay Boulevard, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Naib presiden PTVM iaitu Datuk Noor Effendy Mohamed.

Antara selebriti yang mendapat pengiktirafan berkenaan termasuklah Sofea Jane, Afdlin Shauki dan Zed Zaidi.

Tambah Jurey yang juga presiden PTVM, pengiktirafan itu juga akan dapat membantu penggiat seni memperoleh peluang mengajar di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta tanpa memerlukan sijil kelayakan akademik.

Mengenai jalinan MoU yang dibuat antara PTVM dan CCIG, Jurey berkata, ia bertujuan bagi memperkenalkan secara luas bahawa CCIG yang tidak sampai dua tahun beroperasi merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf, di mana ia mendapat dana sepenuhnya daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dalam pada itu, keahlian CCIG adalah terbuka kepada semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam industri kreatif termasuklah pekerja belakang tabir sama ada dalam bidang lakonan, muzik, pengarahan, penerbitan mahu pun pereka grafik.

Penyertaan juga terbahagi kepada empat kategori iaitu ahli biasa, bersekutu, kehormat dan remaja.

"Apabila mereka sudah menjadi ahli, pihak CCIG akan mengiktiraf mereka mengikut tahap tertentu.

"Selain faedah-faedah yang dinyatakan, para ahli juga mendapat bantuan perkhidmatan guaman secara percuma bagi hal yang melibatkan undang-undang," ujarnya.

Bagaimanapun, Jurey berharap penggiat seni yang mendaftar tidak menganggap pengiktirafan yang diberikan itu melayakkan mereka untuk menuntut harga bayaran kerja masing-masing agar dinaikkan.

"Saya harap mereka tidak salah faham. Kami hanya membantu daripada segi jangka masa panjang tetapi bukan membantu mendapatkan bayaran yang lebih tinggi mengikut gred yang diberi kerana perkara itu bukan di bidang kuasa kami tetapi pihak kerajaan," tegasnya.

Artikel Berikut

Artikel Lain