suria

Penerbit Terkilan 'Maduku Kalut' Tidak Dapat Sokongan KBS

Pelakon teater Maduku Kalut dari kiri; Nad Zainal, Izzue Islam dan Jihan.
Pelakon teater Maduku Kalut dari kiri; Nad Zainal, Izzue Islam dan Jihan.
Pelakon teater Maduku Kalut dari kiri; Nad Zainal, Izzue Islam dan Jihan.

KUALA LUMPUR: Penerbit teater Maduku Kalut, Mohd Amer Syafiq Khalip berasa terkilan apabila pementasan itu tidak mendapat sokongan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Amer, 27, berkata, biarpun aktiviti itu tidak berkaitan dengan program kesukanan namun ia mengangkat perjuangan golongan belia dalam bidang teater.

"Saya kesal kerana tidak mendapat apa-apa maklum balas daripada pihak KBS biarpun surat sudah diberi sejak dua bulan lalu.

"Kami tidak mahu apa-apa hanya tanda sokongan mereka sahaja sebagai pemberi semangat kepada kami golongan belia dalam mementaskan teater," katanya ketika ditemui pada sidang media teater Maduku Kalut, di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Tambah Amer, industri teater seharusnya mendapat sokongan daripada pihak kerajaan terutamanya apabila ia melibatkan golongan belia.

"Saya faham masalah industri teater adalah kerana kekurangan penaja yang sanggup untuk menaja. Kalau pihak kerajaan tidak membantu golongan belia seperti kami siapa lagi," katanya.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangat pihak produksi untuk terus berjuang memartabatkan industri teater ini.

Teater Maduku Kalut ini dibintangi pelakon popular Izzue Islam, Nad Zainal, Jihan Musa, Karl Shafek, Sofian Bujang, Fazleena Hishamuddin dan Nasz Sally.

Teater arahan Muhammad Azhar Zainal ini akan dipentaskan buat pertama kalinya di Lambang Sari, Istana Budaya pada 27 hingga 30 September ini pada pukul 8.30 malam.

Maduku Kalut mengisahkan tentang seorang pemandu teksi, Selamat (Izzue Islam) yang berkahwin dua, namun isteri-isterinya tidak mengetahui bahawa mereka telah dimadukan.

Keadaan menjadi kecoh apabila Selamat terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan rahsianya terbongkar.

Tiket masuk berharga RM35, RM55 dan RM85 untuk menyaksikan pementasan ini boleh didapati di AirAsiaRedTic.com atau di kaunter BoxOffice, Istana Budaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain