suria

Suria FM Terima Bil Kad Kredit Pendengar RM144,000

Adiwati
Adiwati
Adiwati

PETALING JAYA: Usaha Suria FM untuk melangsaikan bil-bil pendengar menerusi segmen 'Suria Bayarkan' bermula 2 September lalu mendapat sambutan luar biasa apabila terdapat peserta yang mahu melangsaikan hutang kad kreditnya berjumlah RM144,000.

Ketua Bahagian Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, stesen itu bagaimanapun tidak dapat memenuhi permintaan terbabit kerana pihaknya cuma mengehadkan bil sehingga RM50,000 sahaja.

"Dalam pada kami menerima pelbagai jenis bil menerusi kempen berkenaan ada satu bil yang benar-benar menarik perhatian kami apabila seorang pendengar telah menghantar bil kad kreditnya yang berjumlah RM144,000.

"Malah ada juga yang menghantar gambar gaun perkahwinan dengan harapan kami akan membayar bilnya selain bil telefon, utiliti dan barangan dapur," katanya kepada mStar Online.

Tambah Adiwati, selepas memperkenalkan segmen itu, maklum balas diterima daripada pendengar amat menggalakkan dan sehingga kini sebanyak 1,604 gambar bil telah dimuat naik oleh peserta ke laman web stesen radio itu.

Dalam pada itu, Adiwati berkata, pihaknya juga telah melangsaikan hutang bil kad kredit seorang pendengar berjumlah RM1,755 dan berharap pendengar lain akan terus menghantar permohonan mereka sehingga tarikh peraduan tamat pada 27 September ini.

"Idea ini sengaja dicetuskan selepas mendapat keluhan pendengar mengenai hutang bil yang perlu dijelaskan.

"Jadi bagi menghargai para pendengar, kami sengaja mengeluarkan sejumlah bajet untuk membantu sesiapa yang bertuah dengan nilai pelaburan kami sebanyak RM50,000," katanya.

Para pendengar yang mahu bil mereka dijelaskan boleh berbuat demikian dengan mengisi borang dan memuat naik gambar bil masing-masing menerusi laman web Suria FM iaitu www.suriafm.com.my.

Pendengar juga perlu mengikuti segmen Ceria Pagi, Ceria Suria atau Santai Ceria dan Ceria Petang untuk melayakkan mereka menghubungi stesen radio itu dalam masa 15 minit jika nama terpilih menerusi talian 03-77242115 dan menjawab soalan ringkas.

Artikel Sebelum

Vin Diesel Bengang Dituduh Gay

Artikel Berikut

Artikel Lain