suria

Alvin Anthons Buka Restoran Masakan India

Alvin memberitahu membuka restoran adalah impiannya kerana sukakan makanan.
Alvin memberitahu membuka restoran adalah impiannya kerana sukakan makanan.
Alvin memberitahu membuka restoran adalah impiannya kerana sukakan makanan.

PETALING JAYA: Penyanyi Alvin Anthons semakin selesa bergelar seorang pemilik restoran yang diberi nama Sri Suria Curry House sejak empat bulan lalu.

Alvin, 37, berkata, dia juga tidak menyangka restoran yang menghidangkan pelbagai jenis makanan masyarakat India itu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan yang bukan sahaja dari kalangan kaum India tetapi Melayu dan Cina.

"Sejak dari dahulu lagi saya memang suka makan dan sering pergi ke pelbagai tempat untuk mencari hidangan enak dengan harga berpatutan.

"Malah saya juga percaya menerusi makanan ia dapat menyatukan masyarakat terutama dalam konteks Malaysia yang pelbagai kaum," katanya kepada mStar Online.

Antara hidangan yang disediakan di restoran tersebut adalah Nasi Daun Pisang, Nasi Briyani Claypot, Murtabak selain pelbagai jenis masakan kari dan ia beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Tambah Alvin, dia juga beruntung apabila ibunya turut turun padang dengan menyediakan semua jenis lauk-pauk istimewa daripada resepi turun temurun keluarganya setiap hari.

Jelasnya, ibunya akan datang ke restoran seawal pukl 5.30 pagi untuk menyediakan bahan-bahan masakan selain memastikan semua hidangan dimasak dengan sempurna.

"Tanpa ibu saya restoran ini tidak akan berjaya kerana air tangannya adalah tunjang kejayaan kedai ini dan beliau sendiri amat menitikberatkan soal penyediaan sesuatu masakan.

"Ibu banyak menyediakan masakan kari yang jarang disediakan di negara kita dan itu istimewa tentang masakan di sini. Bagaimanapun ia telah diubah suai bagi menyesuaikan dengan citarasa masyarakat Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan sama, Alvin berkata, dia juga terharu apabila telah menerima dua pencalonan daripada Time Out KL Food Awards 2013 menerusi kategori Makanan India Terbaik dan Makanan Murah Terbaik walaupun baru sahaja melancarkan restoran tersebut.

"Ia satu pencapaian yang besar buat saya kerana restoran ini masih baru tetapi mula mendapat perhatian dan berharap kejayaan ini akan berterusan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Alvin berkata, walaupun sibuk menguruskan restoran, kerjaya muziknya tetap berjalan seperti biasa dan memberitahu album terbaharunya yang diterbitkan oleh komposer terkenal, Ajai akan dilancarkan pada 10 September ini.

Jelas Alvin, dia sangat teruja dengan album tersebut namun tidak meletakkan harapan tinggi dari segi penerimaan peminat namun mengakui sudah memberikan terbaik buat album itu.

"Bukan takut kecewa ia tidak akan diterima ramai tetapi tidak mahu meletakkan sebarang harapan tinggi. Tetapi apa yang penting saya sudah memberikan terbaik buat album ini.

"Sama ada gagal atau tidak ia tidak akan mematahkan semangat saya dan perjuangan tetap akan diteruskan dengan apa cara sekali pun," tuturnya.

Album yang memuatkan sembilan buah lagu itu telah pun melancarkan dua buah single bertajuk Berdua dan Sally.

Artikel Lain