suria

Dafi Akur Lagu Baharu Tidak Dapat Sambutan Stesen Radio

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dafi terpaksa akur apabila single lagunya yang dikeluarkan pada bulan Mac lalu berjudul Salahkah Aku kurang mendapat sambutan di stesen-stesen radio tempatan.

Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 25, berkata, melihatkan jumlah tontonan klip video lagu tersebut di YouTube yang berjaya mendapat 200,000 penonton, dia berasa pelik apabila tiada peminat yang membuat permintaan lagu berkenaan di radio.

"Saya tak tahu di mana silapnya. Tetapi itulah, apabila lagu tersebut popular di YouTube tetapi tidak pula di radio, saya rasa pelik.

"Bagaimanapun saya tidak kecewa dengan apa yang berlaku. Mungkin lagu saya belum cukup lagi di tahap piawaian radio, saya kurang pasti," katanya.

Dafi ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri di bawah syarikat miliknya iaitu Laugh Out Loud (LOL) yang diadakan di Binjai Premier Soho, di sini pada Rabu.

Tambah Dafi, keadaan itu langsung tidak memutuskan semangatnya untuk mengeluarkan produk lagu baharu pada masa hadapan.

Malah penyanyi itu juga merancang untuk kembali ke Indonesia bagi mengembangkan bakatnya di bidang nyanyian selepas kegagalannya dalam bidang pengacaraan di negara tersebut.

"Saya seorang yang bukan mudah berputus asa. Selagi mampu, saya akan berusaha sehingga berjaya.

"Tidak lama lagi, sebelum mengeluarkan album saya akan muncul dengan single seterusnya berjudul Dalam Hati Ini.

"Pada hujung tahun ini pula saya akan berjumpa dengan beberapa produser muzik di Jakarta bagi merancang kerjaya nyanyian saya di sana," tuturnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain