suria

Wanita Perlu Jaga Batas Punca Lelaki Dominasi Rancangan Lawak

Nizam Sani
Nizam Sani
Nizam Sani

KUALA LUMPUR: Kekurangan pelawak wanita tempatan menjadi punca program-program komedi tempatan lebih ramai disertai golongan lelaki.

Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata banyak batasan dan tingkah laku yang perlu dijaga menjadikan program-program berkonsepkan lawak komedi lebih mengutamakan kaum lelaki.

“Wanita agak sukar untuk melawak kerana kita faham batas-batas mereka, kalau terlebih lawak pula akan kelihatan menjengkelkan.

"Sebab itulah industri ini dimonopoli oleh kaum lelaki," katanya ketika melancarkan program Super Spontan 2013 musim kedua, di sini, Isnin.

Tambah Nizam, dalam program Super Spontan terbaharu ini, dua aktres iaitu Norkhiriah dan Almy Nadia bakal bersaing dalam kumpulan masing-masing.

"Kita dah tawarkan beberapa orang pelawak lain dan pelakon-pelakon popular namun kebanyakan mereka tidak berani untuk mencuba melawak secara spontan," katanya.

Program realiti bercorak permainan ini masih mengekalkan format asal dan bakal bersiaran selama 10 minggu.

Seramai 14 selebriti akan bersaing dalam dua kumpulan yang diberi nama ‘Ketam Konfius’ dan ‘Semut Sentap.’

"Kami menjangkakan persaingan dalam Super Spontan musim kedua ini akan lebih sengit memandangkan para peserta sudah semakin selesa dengan format program dan bersedia untuk mempamerkan persembahan yang terbaik," katanya.

Antara selebriti lain yang akan menyertai Norkhiriah dan Almy Nadia ialah ialah Along (Raja Lawak), Johan (Raja Lawak), Yus (Jambu), Nabil Ahmad, Munir, Jep (Sepah), Shuib (Sepah), Tauke (Jambu), Rahim dan Suhaimi.

Nasib setiap kumpulan akan ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton pada persembahan mingguan.

Pemenang mingguan memenangi RM4,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan terpilih, manakala pada pusingan akhir pemenang bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.

Dalam pada itu, Nizam turut memperkenalkan bekas Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said sebagai Pengurus Saluran Astro Warna yang baharu bermula 1 Ogos lalu.

Program Super Spontan musim kedua akan bersiaran bermula 30 Ogos ini, pada pukul 10 malam di saluran 132, Astro Warna.

Artikel Lain