suria

Lisa Surihani Enggan Digelar Pelawak

Lisa Surihani
Lisa Surihani
Lisa Surihani

KUALA LUMPUR: Kemenangan sebagai Pelakon Komedi Wanita Terbaik menerusi filem Istanbul Aku Datang pada Anugerah Lawak Warna (ALW) yang julung kali dianjurkan di Istana Budaya pada Jumaat lalu bukan satu tiket untuk aktres Lisa Surihani digelar sebagai pelawak.

Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 27, menyifatkan, dia tidak layak untuk digelar pelawak memandangkan dia kurang ilmu pengetahuan di bidang komedi.

"Rasanya tidak sesuai jika orang panggil saya pelawak kerana ia bukan dalam liga saya. Tambah pula saya tiada ilmu untuk melawak pon.

"Kemenangan ini pun saya percaya ia kerana Bernard yang mengasah lakonan saya menjiwai watak Dian. Mungkin saya boleh berlakon dalam filem komedi, tetapi saya tk layak untuk digelar pelawak," katanya.

Filem Istanbul Aku Datang mengungguli ALW dengan meraih meraih empat kategori iaitu Filem Terbaik, Pelakon Komedi Wanita Terbaik Filem (Lisa Surihani), Lakon Layar Komedi Filem Terbaik dan Pengarah Komedi Terbaik (Bernard Chauly).

Filem tersebut telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 8 November 2012.

Dalam pada itu, Lisa menganggap kemenangan sebagai Pelakon Komedi Wanita Terbaik juga sebagai satu momen yang pelik sepanjang karier lakonannya.

Malah, ketika pengumuman pemenang, dia terkejut apabila namanya disebut dan tidak sangka diberi pengiktirafan memandangkan dia berasa pencalon lain seperti Yana Shamsudin, Sharifah Amani, Intan ladyana dan Sharifah Shahira turut mempunyai keistimewaan lakonan yang tersendiri.

"Saya memang benar-benar terkejut. Maklumlah saya bukannya pelawak dan ketika pengumuman dibuat, rasa macam pelik. Malah hati saya sempat berkata-kata, mungkin ada tersilap di mana-mana.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ia juga adalah satu rezeki dan terharu diberi pengiktirafan sebegini.

"Terima kasih juga kepada pengarah Istanbul Aku Datang iaitu Bernard Chauly yang berjaya mengasah bakat saya menghayati watak Dian dalam filem itu," ujarnya.

Artikel Lain