suria

YA1M Mahu Kutip RM200,000 Untuk Bantu Artis

Nancie harap konsert amal "Satu Suara Satu Matlamat" akan mencapai objektif supaya dapat membantu golongan artis yang memerlukan.
Nancie harap konsert amal
Nancie harap konsert amal "Satu Suara Satu Matlamat" akan mencapai objektif supaya dapat membantu golongan artis yang memerlukan.

PETALING JAYA: Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) menyasarkan untuk mengutip RM200,000 sebagai dana pada konsert amal Satu Suara Satu Matlamat yang bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 5 Oktober bagi membantu golongan artis.

Pemegang Amanah YA1M, Nancie Foo berkata, menerusi kutipan tersebut pihaknya dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada golongan artis yang memerlukan atau kurang bernasib baik.

"Semua hasil yang dapat kita kumpul pada malam itu nanti akan disalurkan terus kepada yayasan sebagai dana untuk digunakan bagi membantu golongan artis terutama artis-artis veteran," katanya kepada mStar Online.

Tambah Nancie, program seumpama ini juga adalah sebagai salah satu usaha YA1M untuk bergerak sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan daripada kerajaan dalam menambah dana yayasan itu.

Dalam perkembangan sama, Nancie berkata, penjualan meja bagi acara berkenaan berjalan lancar dan pihaknya menjangkakan ia akan habis dijual menjelang konsert amal itu nanti.

Malah kata Nancie, banyak badan korporat turut tampil membeli meja sebagai tanda sokongan kepada program tersebut.

"Syukur usaha ini mula menampakkan hasil dengan penjualan meja sangat menggalakkan dan turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak korporat," jelasnya.

Dalam pada itu, Nancie berkata, pihaknya juga gembira apabila semakin ramai artis tempatan tampil untuk bersama-sama memeriahkan majlis itu nanti dengan mengadakan persembahan bagi tujuan amal itu.

"Pada mulanya kita hanya sasar 10 artis untuk buat persembahan tetapi semakin ramai yang ingin terlibat sama dalam projek berkenaan dan pihak YA1M sangat mengalu-alukan penglibatan mereka," ujarnya.

Artikel Lain