suria

Selepas Dadah, Radhi (OAG) Tinggalkan Tabiat Merokok

Radhi memberitahu telah berjaya meninggalkan tabiat merokok sejak beberapa bulan lalu.
Radhi memberitahu telah berjaya meninggalkan tabiat merokok sejak beberapa bulan lalu.
Radhi memberitahu telah berjaya meninggalkan tabiat merokok sejak beberapa bulan lalu.

PETALING JAYA: Penyanyi Radhi (OAG) memberitahu meninggalkan tabiat merokok sejak beberapa bulan lalu sebagai salah satu langkah untuk memastikan kehidupannya lebih teratur selepas terlibat dalam pengambilan dadah sebelum ini.

Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 36, berkata, proses untuk berhenti merokok itu tidak sukar kerana pernah berjaya meninggalkan ketagihan dadah yang lebih teruk sebelum ini.

"Alhamdulillah selepas berjaya meninggalkan ketagihan dadah kini saya sudah tidak merokok lagi. Saya mahu kehidupan yang lebih teratur selain ingin menjaga kesihatan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Radhi, kehidupannya kini juga berada pada tahap baik selepas bebas menjauhi dadah sejak beberapa tahun lalu dan bersyukur diberi kesempatan untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut.

"Bukan mudah untuk tinggalkan 'benda' itu tetapi Alhamdulillah saya berjaya mengharunginya dan hidup lebih teratur selain rasa lebih bertenaga," katanya.

Sementara itu, Radhi berkata, pengalamanterlibat dalam kemalangan beberapa tahun lalu ketika dibawah pengaruh dadah sehingga hampir menyebabkan dia kehilangan ingatan turut menyedarkannya daripada kesilapan lalu.

Jelas Radhi, dia tidak dapat membayangkan kehidupannya kini sekiranya dia benar-benar hilang ingatan dan mengambil kejadian itu sebagai iktibar untuk berubah.

"Saya tidak dapat bayangkan apa akan terjadi kepada saya sekiranya ia benar-benar berlaku dan kerana kejadian itu juga saya nekad untuk berubah," katanya.

Dalam pada itu, Radhi memberitahu dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga bersama Nur Shahira Ayu atau Ayu, 19, pada tahun hadapan dan memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

Kata Radhi, dia ingin menebus kesilapan lalu yang hampir memusnahkan kehidupannya dan berharap rumah tangga itu nanti kekal sehingga akhir hayat.

Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, 35, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia lapan tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain