suria

OIAM Bakal Kembali Dengan Format Baharu

Airin Zainul
Airin Zainul
Airin Zainul

PETALING JAYA: Selepas empat tahun menyepi, program pertandingan nyanyian One In A Million (OIAM) akan muncul kembali dengan format yang lebih segar dalam masa terdekat.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul, berkata, sehingga kini pihak produksi sedang mengkaji untuk melakukan penambahbaikan selain memperkemaskan lagi konsep program berkenaan.

"Saya yakin ramai yang menunggu kemunculan semula OIAM. Tetapi banyak perkara yang perlu diperkemas sebelum ia kembali.

"Berkemungkinan besar program ini akan dimulakan dalam masa 18 bulan. Sehingga kini pihak kami masih lagi mengkaji isi kandungannya agar dapat menjadikannya sebuah pertandingan nyanyian realiti yang terbaik.

"Kalau boleh biarlah ia memberikan impak hebat agar berbaloilah penantian penonton yang mahu menyaksikan program ini," katanya.

Tambah Airin, kemunculan OIAM yang terbaharu itu juga tidak akan sama konsepnya dengan tiga musim sebelumnya.

OIAM merupakan program realiti berbentuk pertandingan nyanyian di 8TV yang menawarkan RM1 juta termasuk nilai kontrak kepada juaranya untuk tujuan pembangunan kerjaya mereka sebagai artis.

Semenjak diperkenalkan pada tahun 2006, OIAM sudah menjayakan tiga musim, dan juara-juaranya merupakan Suki Low Sook Yee (2006), Ayu Damit (2008) dan Tomok (2009).

Sementara itu, ditanya adakah program berbentuk pertandingan nyanyian masih lagi relevan untuk tontonan umum, Airin berkata, dia yakin ia masih lagi mendapat sambutan cuma konsepnya sahaja yang perlu diubah mengikut trend terkini.

"Saya percaya OIAM masih lagi relevan buat tontonan masyarakat kerana mereka masih lagi dahagakan program hiburan berbentuk nyanyian.

"Cuma konsepnya sahaja yang perlu diubah kerana penonton zaman ini sudah bijak menilai dan jika tersalah konsep, ia mungkin tidak akan menjadi fenomena seperti musim-musim sebelumnya.

"Yang penting kita akan pastikan program yang dibawakan itu mengikut selera penonton, itu yang paling utama sekali," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain