suria

Saya Malu Ahli Persatuan Asyik Bergaduh - Arash Mohd

Arash Mohd
Arash Mohd
Arash Mohd

KUALA LUMPUR: Pelakon drama, Arash Mohd mengakui berasa malu apabila isu perbalahan di antara pelbagai persatuan seni tempatan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

Arash atau nama sebenarnya Azman Shah Ramlee, 44, berkata, lebih memalukan apabila jiran-jiran serta masyarakat di sekelilingnya memperkatakan tentang isu perbalahan tersebut dan ia sekali gus boleh menjejaskan reputasi industri hiburan negara.

"Memang semua orang tahu isu perbalahan persatuan-persatuan hiburan tempatan sudah lama wujud. Sampaikan saya pun bosan untuk bercakap berkaitan perkara ini.

"Tetapi isu sebegini juga boleh buat artis-artis kita malu. Termasuklah saya sendiri, malu dengan jiran-jiran yang bercakap tentang perkara ini.

"Jika tidak tentang isu A, timbul pula isu B. Kemudian persatuan ini tak puas hati dengan yang satu lagi dan sebagainya. Jadi perkara ini tidak akan selesai," katanya.

Arash ditemui pada majlis pelancaran drama Balqis di Angkasapuri di sini, pada Selasa. Turut hadir barisan pelakon lain seperti Amir (Raja Lawak), Chomel Fana dan Eja.

Tambah Arash, perbalahan itu juga disifatkan kerana berkaitan dengan perebutan kuasa untuk jawatan tertinggi seperti mahu menjadi presiden dalam sesebuah persatuan, namun ia disifatkan sebagai perkara yang normal.

"Perebutan kuasa adalah perkara yang normal dan ia berlaku di mana-mana sahaja cuma saya berharap, perebutan kuasa itu biarlah dilakukan secara betul dan memberikan faedah kepada semua pihak tanpa sebarang kemusykilan.

"Ini tidak, kebanyakannya semua ada unsur-unsur kepentingan peribadi dan ada yang mengabaikan ahli-ahli persatuan dengan begitu sahaja.

Sementara itu, mengenai drama Balqis, Arash memegang watak Kamal yang merupakan teman baik kepada Hanum (Eja), seorang majistret yang mahu membantu seorang gadis muda bernama Balqis (Chomel).

Hanum ingin mengubah gaya hidup Balqis yang agak liar itu namun sebaliknya pula berlaku apabila Balqis pula yang cuba mengubah pemikiran Hanum.

Beritahu Arash, walaupun sudah lama berlakon, ini merupakan pertama kali dia memegang watak sebagai majistret.

"Selalunya saya akan jadi watak ayah atau lelaki yang mempunyai status Datuk. Tetapi beza pula untuk drama ini dan kerana itu saya terpaksa mengkaji latar belakang dan perwatakan bagi golongan yang bergelar majistret.

"Ternyata ia perkara yang baharu untuk saya pelajari. Ditambah pula berlakon di samping Eja dan pelakon muda seperti Chomel dan Amir, ia sedikit sebanyak mengajar saya berlakon di sisi lain pula," ujarnya.

Drama arahan Noraziah Zakaria dan Ade Hasnoor itu telah pun ditayangkan pada 3 Jun lalu. Ia bersiaran setiap hari Selasa pada pukul 1.30 tengah hari di TV2.

Pelakon lain ialah Omar Mokhtar, Amran Ismail, Zarina Zainuddin, Badrul Munir, Dottie dan Dian P.Ramlee.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain