suria

Isu Royalti, Karyawan Mahu Ambil Tindakan Terhadap Prism

Datuk Freedie Fernandez
Datuk Freedie Fernandez
Datuk Freedie Fernandez

KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan mengambil tindakan terhadap Performers and Artistes' Rights (M) Sdn Bhd (Prism) sekiranya badan itu enggan membenarkan akaun mereka diperiksa oleh juruaudit bertauliah bagi menentukan cara dan sistem pengagihan royalti dibuat kepada ahli berdaftar.

Presiden Karyawan, Datuk Freedie Fernandez berkata, pihaknya menerusi peguam yang dilantik oleh iaitu Tetuan Aizul Rohan Anuar and Associates telah menghantar surat kepada Prism berhubung perkara berkenaan pada 26 Jun lalu namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

"Permohonan itu dibuat selepas dua ahli PRISM iaitu pemuzik Aznan Alias dari kumpulan Saturnine dan Hilary Ang (Search) telah meminta bantuan Karyawan selepas mempersoalkan cara penentuan royalti diagihkan kepada ahli oleh PRISM yang dilihat boleh dipersoalkan.

"Bagaimanapun surat yang dihantar sendiri ke pejabat PRISM dan faks masih belum mendapat maklum balas tanpa sebarang alasan dan kami tidak akan teragak-agak untuk meminta kebenaran mahkamah bagi menyelesaikan isu ini," jelasnya pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Park Royal di sini, Selasa.

Tambah Freedie, isu itu sebenarnya sudah lama berlarutan sejak tahun 2001 apabila PRISM gagal memberikan penjelasan tentang cara pengagihan yang diguna pakai untuk menentukan royalti setiap ahli iaitu pelaku dalam industri muzik bagi memberi hak kutipan kepada Prism.

"Ada ahli yang mendapat bayaran yang tidak setimpal dan ada pula mendapat bayaran yang tidak masuk akal berbanding dengan hasil karya mereka.

"Oleh sebab itu kita ingin tahu kaedah yang digunakan supaya dalam kes ini tiada pihak teraniaya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Aznan yang turut hadir pada sidang media itu menjelaskan sepanjang 10 tahun lalu dia hanya menerima RM300 setahun daripada Prism dan RM11,000 pada tahun 2010.

Jelas Aznan, keraguannya timbul apabila ada ahli yang hanya mendaftar sebuah album dengan Prism mendapat kutipan yang lebih tinggi.

"Bayangkan yang hanya mendaftar 10 lagu dapat berpuluh-puluh ribu dan mempunyai beratus-ratus lagu seperti saya mendapat royalti tidak masuk akal dan bagi saya itu adalah pelik.

"Apabila ditanya alasan pihak pengurusan mereka kata kami tidak bersyukur," ujarnya.

Sementara itu, Aznan berkata, tindakannya melaporkan perkara itu kepada Karyawan bukan untuk kepentingan sendiri tetapi untuk semua ahli Prism yang teraniaya sepertinya.

Jelasnya, dia tidak berniat untuk menyalahkan sesiapa sebaliknya cuma ingin mencari kebenaran.

"Tiada siapa yang berani untuk membangkitkan isu ini dan biar saya ke depan untuk menegakkan kebenaran malah sudah semakin ramai yang mula bersuara dan terbuka mata tentang isu ini.

"Permintaan kami tidak banyak cuma biar juruaudit yang dilantik supaya membuat semakan akaun dan mengkaji kaedah pembayaran royalti dibuat," katanya.

Ahli-ahli Prism terdiri daripada mereka yang membuat persembahan di khalayak seperti penyanyi dan pemuzik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain