suria

Nilai Seni & Komersial Resipi Kejayaan 'Hantu Kapcai'

JOHOR BAHRU: Gabungan nilai komersial diselitkan dengan unsur seni dalam sesebuah filem boleh membuatkan penonton lebih mudah menerima karya yang ditonton.

Pengarah filem, Ghaz Abu Bakar berkata, kerana itu, dia menyifatkan filem arahannya iaitu Hantu Kapcai menjadi pilihan apabila meraih Filem Terhebat Anugerah Blokbuster 2012 yang telah berlangsung di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Baru) Sabtu lalu.

"Realitinya, harus diakui filem tempatan hanya akan ditonton sekiranya membabitkan nilai komersial iaitu dengan menampilkan pelakon-pelakon popular, barulah ia membuatkan masyarakat mahu menonton filem itu.

"Tetapi unsur-unsur seni filem juga penting bagi mencantikkan jalan cerita yang dibawakan.

"Selain itu plot cerita yang dekat dengan jiwa masyarakat kita barulah mereka akan tonton. Mungkin formula itu membuatkan Hantu Kapcai menang," katanya.

Pada anugerah itu, Hantu Kapcai turut memenangi kategori Filem Aksi Terhebat dan Filem Kelakar Terhebat termasuklah Hero Terhebat (Zizan Razak) dan Heroin Baru Terbaik (Neelofa).

Tambah Ghaz, plot cerita yang padat juga amat penting agar perjalanan karya filem itu tidak meleret selain menyelitkan unsur-unsur komedi dan keagaamaan dalam Hantu Kapcai.

Kemenangan yang diraih juga telah membuatkan pengarah itu lebih bersemangat untuk memulakan penggambaran sekuel Hantu Kapcai tidak lama lagi.

"Kejayaan inu membuatkan saya dan pihak penerbitan Showbiz Sdn Bhd lebih bersemangat untuk meneruskan pembikinan sekuel filem ini.

"InsyaAllah saya akan menghasilkan filem ini lebih baik daripada Hantu Kapcai yang pertama. Dijangka penggambaran akan dimulakan awal tahun depan," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain