suria

Kerana Kecewa Produser Nyaris Tanam Filem 'Tokak'

Marina (berdiri empat dari kiri) bersama pelakon-pelakon filem Tokak
Marina (berdiri empat dari kiri) bersama pelakon-pelakon filem Tokak
Marina (berdiri empat dari kiri) bersama pelakon-pelakon filem Tokak

PETALING JAYA: Produser filem Tokak, Datuk Marina Mahammad mengakui berhadapan dengan pelbagai masalah dalam menyiapkan filem sulungnya itu yang hampir tiga tahun terperam.

Kata Marina, dia hampir-hampir putus asa sehingga mengambil keputusan untuk membuang filem tersebut berikutan beberapa perkara yang sukar untuk diselesaikan.

"Saya hampir-hampir nak tanam filem ini kerana sudah tidak tahu apa nak buat dengannya lagi. Saya juga menangis sendirian mengenangkan bagaimana cara untuk menyelesaikan beberapa masalah apabila orang yang dipertanggungjawabkan melarikan diri.

"Pihak tersebut hanya buat kerja separuh jalan dan meninggalkan kerja-kerja tersebut kepada saya yang tiada pengalaman ini sehinggalah saya terpaksa hantar filem itu ke Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan uruskannya sendiri," katanya ketika ditemui selepas majlis previu filem Tokak, di sini, Selasa.

Tambahnya, dia juga kesal dengan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan teknik pengimejan berkomputer (CGI) kerana mengambil sikap sambil lewa serta melambatkan proses tersebut.

"Ikutkan hati saya nak saman pihak yang buat CGI ini kerana tidak jalankan tugas dengan sempurna dan melambat-lambatkan kerja tersebut," katanya.

Bagaimanapun beliau bersyukur apabila filem arahan Sabree Fadzil yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini akhirnya mampu disiapkan juga.

"Biarpun pelbagai halangan dan rintangan namun saya puas hati dan gembira kerana semuanya saya dapat lakukannya sendiri.

"Pada awalnya memang saya fikir ini kali pertama dan terakhir untuk buat filem tetapi selepas semuanya terjadi saya semakin bersemangat untuk buat filem lagi," katanya.

Sementara itu, pengarah Sabree Fadzil mengakui filem itu banyak kekurangan selain menggunakan teknik penggambaran bermutu rendah.

"Saya akui ia kelihatan seperti zaman 90-an kerana saya menggunakan teknik dan peralatan kamera yang lama memandangkan bajet yang diberikan tidak mencukupi. Apa-apa pun kita buat apa yang termampu sahaja,” katanya.

Filem seram komedi terbitan Mar Energetic Industri Sdn Bhd ini berkisarkan mengenai jelmaan makhluk halus yang mahu menghisap darah gadis untuk memulihkan wajahnya agar dapat menjadi manusia biasa.

Filem ini menjalani penggambaran di Port Dickson, Hulu Klang dan Kemensah, kira-kira 15 hari.

Antara barisan pelakon yang menjayakan filem ini ialah Airis Yasmin, Diana Johor, Faiz Raja Lawak, Julia Ziegler, Abon, Kazar dan Lana Nordin.

Ia akan ditayangkan di pawagam bermula 20 Jun 2013.

Artikel Sebelum

Artikel Lain