suria

Pastikan Populariti Tidak Jatuh, Asmidar Mahu Berlakon

Asmidar mahu memastikan namanya tenggelam begitu sahaja selpas usaha keras sepanjang 12 tahun dalam industri seni tanah air. Foto KEVIN TAN
Asmidar mahu memastikan namanya tenggelam begitu sahaja selpas usaha keras sepanjang 12 tahun dalam industri seni tanah air. Foto KEVIN TAN
Asmidar mahu memastikan namanya tenggelam begitu sahaja selpas usaha keras sepanjang 12 tahun dalam industri seni tanah air. Foto KEVIN TAN

PETALING JAYA: Penyanyi Asmidar mengambil langkah menceburi bidang lakonan bagi mempertahankan namanya dalam industri seni hiburan negara.

Asmidar atau nama sebenarnya Nor Hasmidar Ahmad, 27, berkata, dia menyifatkan cara itu sedikit sebanyak dapat membantu agar populariti namanya yang mula dikenali selepas menjadi juara dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kelima tidak mudah tenggelam begitu sahaja.

"Dahulu saya tidak pernah terfikir bahawa populariti seseorang artis boleh hilang, tetapi lama kelamaan baru saya sedar menjadi artis bukannya senang dan populariti boleh hilang sekelip mata jika tiada pengurusan yang baik.

"Sebab itu saya mahu meneburi bidang lakonan agar dapat mengekalkan nama dalam industri seni kita. Dah penat-penat kita kerja keras untuk perkenalkan bakat pada umum, takkan nak biarkan ia hilang begitu sahaja bukan?.

"Kalau nak ikutkan, sudah 12 tahun saya berada dalam industri muzik, bermula dengan pertandingan nyanyian Bintang RTM lagi. Jadi saya tidak mahu sia-siakan apa yang saya miliki sekarang ini," katanya kepada mStar Online.

Tambah Asmidar lagi, tujuannya mahu mencuba bidang lakonan juga adalah kerana ingin melihat sejauh mana kemampuan bakatnya di bidang seni.

Dalam pada itu, Asmidar turut merancang mahu melibatkan diri dalam perniagaan akademi seni dalam jangka masa empat tahun lagi.

"Dah lama sebenarnya saya rancang mahu menubuhkan sebuah akademi seni seperti sekolah muzik.

"Bagi saya benda ini tidak mustahil untuk dilakukan memandangkan saya berpengalaman dalam pendidikan seni muzik di mana saya bekerja sebagai guru muzik di akademi seni swasta jika tidak ada sebarang aktiviti nyanyian.

"Memandangkan saya ada sedikit ilmu berkaitan pendidikan muzik, sayang rasanya jika tidak melakukan sesuatu berkaitan dengannya," ujar Asmidar.

Sementara itu, Asmidar kini giat mempromosikan album pertamanya berjudul Kali Pertama yang sudah pun dipasarkan awal tahun ini.

Bernaung di bawah syarikat Warner Music Malaysia Sdn Bhd, album ini memuatkan sebanyak tujuh buah lagu seperti Goldilock, Kali Pertama, Bila Cinta Ada, Sepenggal Kisah, Sepasang Sudu, Pesona Cinta dan Biar Sampai Ke Bintang.

Artikel Berikut

Artikel Lain