suria

Konsert 'Jelajah 3 Permata' Di Enam Negeri

Penyanyi yang bakal menjayakan 'Konsert Jelajah 3 Permata'. Dari kiri; Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor
Penyanyi yang bakal menjayakan 'Konsert Jelajah 3 Permata'. Dari kiri; Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor
Penyanyi yang bakal menjayakan 'Konsert Jelajah 3 Permata'. Dari kiri; Misha Omar, Adibah Noor dan Jaclyn Victor

PETALING JAYA: Tiga penyanyi iaitu Misha Omar, Adibah Noor dan Jacyln Victor yakin dapat membentuk keserasian pada ‘Konsert Jelajah ‘3 Permata’ yang menggandingkan mereka bermula September depan.

Menurut ketiga-tiga penyanyi itu pengalaman mengadakan konsert di Espelanade, Singapura penghujung tahun lalu yang mendapat sambutan hangat peminat membuatkan mereka selesa berada di pentas sama.

"Mencari keserasian itu tiada masalah kerana kami pernah terlibat dalam konsert sama penghujung tahun lalu di Singapura.

"Kami yakin peminat tempatan dapat memberi sokongan pada konsert jelajah ini nanti," kata Jaclyn semasa sidang media konsert berkenaan yang diadakan di The Curve, di sini, Selasa.

Konsert itu bakal menjelajah enam buah negeri iaitu Sarawak (21 September), Sabah (28 September), Johor (12 Oktober), Pahang (19 Oktober), Kedah (26 Oktober) dan Kuala Lumpur (2 November).

Dalam pada itu, Jaclyn berkata, konsert ini bakal menjadi sejarah buatnya kerana dia belum pernah terlibat dalam konsert jelajah solo mahupun bertiga di Malaysia.

"Tidak sabar rasanya untuk menjelajah bersama Adibah dan Misha kerana selain dapat bertemu peminat, ia adalah kali pertama saya dapat terlibat dalam konsert jelajah," katanya.

Selain bakal mempersembahkan lagu-lagu popular masing-masing, mereka juga merancang untuk berduet dalam konsert yang bakal berlangsung selama 90 minit itu.

Sementara itu, wakil penganjur dari Dangerous Events, Faizul Zakaria berkata, pemilihan tiga nama berkenaan adalah bagi memberi ruang kepada peminat tempatan yang terlepas peluang menyaksikan persembahan mantap mereka di Singapura tahun lalu.

"Sebut sahaja nama mereka semua orang kenal kerana kehebatan vokal yang mantap.

"Atas permintaan ramai juga kami sekali lagi menggandingkan ketiga-tiga nama ini dalam satu konsert jelajah," jelasnya.

Bagaimanapun kata Faizul lokasi sebenar konsert di enam buah negeri itu akan dimaklumkan kemudian.

Peminat yang ingin membuat tempahan tiket dan maklumat ‘Konsert Jelajah 3 Permata’ boleh melayari www.3permata.com.my

Artikel Lain