suria

'Putih-Putih Melati' Inspirasi Lagu Rakyat - ST12

Kumpulan ST12 tampil dengan album terbaru "Lantera Hati".
Kumpulan ST12 tampil dengan album terbaru
Kumpulan ST12 tampil dengan album terbaru "Lantera Hati".

PETALING JAYA: Kumpulan popular Indonesia, ST12 yang kini tampil dengan lagu berjudul Putih Putih Melati mengambil inspirasi menghasilkan karya tersebut daripada lagu-lagu rakyat.

Jelas pencipta lagu yang juga pemain dram kumpulan tersebut, Ilham Febry atau lebih dikenali sebagai Pepep karya itu lebih mudah didengar dan senang dinyanyikan oleh pendengar.

"Kami tidak tiru tapi ambil inspirasi dari lagu-lagu rakyat sahaja, lagu-lagu rakyat lebih catchy dan mudah dinyanyikan semula apabila mendengarnya.

"Dari segi lirik memang sengaja dipendekkan dan diulang-ulang rangkapnya kerana kita mahu pendengar yang mendengar lagu ini lebih tenang dan tidak banyak berfikir tentang lirik dan maksudnya," katanya pada sidang media pelancaran album Lentera Hati, di sini, pada Rabu.

Kumpulan ST12 yang sebelum ini berpecah muncul dengan album terbaharu selepas empat tahun menyepikan diri.

Tambah Pepep, selama empat tahun usaha pencarian vokalis dan ahli baru akhirnya membolehkan ST12 kembali meneruskan perjuangan dalam industri muzik.

"Kumpulan ini hampir-hampir berkubur selepas semua ahli mencari haluan masing-masing. Selama empat tahun saya berusaha mencari ahli-ahli baru dan bahan untuk album terbaru ini.

"Alhamdulillahlah ia akhirnya berhasil dan album Lantera Hati ini menyimpulkan duka lara yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pepep berkata, sepuluh buah lagu yang dimuatkan dalam album ini dicipta bersesuaian dengan vokal penyanyi baru kumpulan tersebut Ridho.

"Lagu-lagu dalam album ini cukup serasi dengan vokal Ridho dan saya yakin Ridho mampu pergi jauh dengan bakat yang ada padanya.

"Saya juga yakin lagu ini juga mampu bertahan lebih lama untuk beberapa tahun akan datang," katanya.

Album Lantera Hati sudah dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara oleh Rumpun Records dan Universal Music. Ia boleh dimuat turun secara digital dari iTunes dan syarikat telekomunikasi tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain