suria

KP Finas Jawab Kenapa Sering Elak Jumpa Wartawan

Raja Rozaimie Dalnish Shah sudah sedia menjawab segala persoalan daripada semua pihak.
Raja Rozaimie Dalnish Shah sudah sedia menjawab segala persoalan daripada semua pihak.
Raja Rozaimie Dalnish Shah sudah sedia menjawab segala persoalan daripada semua pihak.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah (KP), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru, Raja Rozaimie Dalnish Shah akhirnya menjelaskan beliau terpaksa mengambil masa beberapa bulan memahami perjalanan industri seni hiburan tempatan sebelum berdepan dengan pihak media untuk membuat sebarang kenyataan.

Rozaimie berkata, beliau bukan sengaja mengelak daripada pihak media sebaliknya banyak perkara yang dia tidak arif mengenai industri seni sehingga menyebabkan pengerusi perbadanan itu, Datuk Md Afendi Hamdan dilihat lebih menonjol daripadanya.

"Baru masuk empat bulan saya menjawat sebagai KP Finas dan kerana itu banyak perkara yang saya tidak tahu.

"Saya juga perlu belajar dan memahami industri hiburan sebaik mungkin sebelum berdepan dengan pelbagai persoalan daripada mana-mana pihak.

"Dan sekarang ini, Insya-Allah saya sedia menjawab segala pertanyaan. Walaupun ada lagi perkara yang saya tidak tahu, tetapi saya cuba. Semua ini masih lagi dalam proses pembelajaran," katanya kepada mStar online.

Raja Rozaimie dilantik sebagai KP Finas pada 1 Januari 2013 selepas kontrak Mohd Naguib Razak tamat pada 31 Disember tahun lalu.

Sebelum ini Rozaimie merupakan Ketua Pengarah, Filem Negara. Bagaimanapun berkuat kuasa 1 Januari lalu, kedua-dua agensi itu telah digabungkan.

Tambah Rozaimie, bekerja sebagai KP Finas ternyata berbeza ketika berada di Filem Negara memandangkan jawatan yang baru dipegangnya itu lebih sukar daripada segi pengurusannya.

"Duduk di Finas dan Filem Negara adalah dua ‘kerusi’ yang ternyata berbeza sebenarnya. Banyak fakta industri yang perlu difahami agar dapat diperjelaskan kepada umum.

"Tambah pula orang kata jawatan KP Finas ini merupakan 'kerusi panas' buat penggiat-penggiat seni tempatan. Mungkin kita boleh mengubahnya kepada 'kerusi sejuk'?" selorohnya.

Artikel Lain