suria

'Maskara' Bukan Tiru 'Desperate Housewife'

'Maskara' mengangkat kehidupan wanita masa kini. Foto BRIAN MOH
'Maskara' mengangkat kehidupan wanita masa kini. Foto BRIAN MOH
'Maskara' mengangkat kehidupan wanita masa kini. Foto BRIAN MOH

KUALA LUMPUR: Penerbitan drama bersiri terbaharu terbitan KRU Studios berjudul Maskara tidak mencedok idea daripada siri popular Amerika Syarikat, Desperate Housewife.

Pengarahnya, Nizam Zakaria berkata, persamaan tema yang mengangkat tentang kehidupan wanita adalah perkara biasa dan drama arahannya itu tampil dengan konsep berbeza.

"Kita mengangkat tentang kehidupan sekumpulan wanita kerana memang ingin menfokuskan kepada golongan itu serta masalah harian yang dihadapi mereka.

"Drama ini tampil berbeza kerana kami menggunakan konsep 'mockumentary' yang pastinya lebih segar berbanding drama-drama bersiri sedia ada," jelasnya pada sidang media drama rantaian itu di Red Box Plus, Pavillion di sini, Jumaat.

Maskara dibintangi oleh Nasha Aziz, Lisa Surihani, Anzalna Nasir dan Adrea Abdullah.

Ia bakal bersiaran setiap Khamis, pukul 10 malam bermula April di TV1.

Dalam pada itu, Nizam berkata, beliau mengambil masa setahun memikirkan konsep dan jalan cerita selain mengolah skrip supaya dapat memberikan hasil terbaik kepada penonton.

Malah kata Nizam, beliau juga memandang berat tentang aspek lokasi, pakaian yang digunakan pelakon supaya ia dapat beri kesan berbeza kepada penonton.

"Semua aspek terutamanya arah seni drama ini berada di landasan betul dan dapat memuaskan hati penonton," katanya.

Tambah Nizam, kisah yang dipaparkan akan lebih tertumpu dengan masyarakat di Malaysia dengan jalan cerita menarik.

Sementara itu, Nizam berkata, selain disiarkan di RTM, Maskara turut boleh dilanggan secara digital melalui portal Tonton, laman web KRU TV dan menerusi telefon pintar iPhone.

Kata Nizam, siaran melalui langganan digital akan bermula dua minggu lebih awal daripada siaran di RTM.

"KRU Studios mahu meneroka bidang penyiaran dengan menerbitkan lebih banyak kandungan program secara 360 darjah dan memaksimumkan penggunaan teknologi secara digital," jelasnya.

Artikel Lain