suria

Katy Perry Tandatangan Kontrak Buku Bernilai RM9.29 Juta

Katy Perry
Katy Perry
Katy Perry

PENYANYI KATY PERRY telah menandatangani kontrak bernilai £2 juta (RM9.29 juta) untuk menghasilkan buku mengenai hidupnya tidak lama lagi.

Buku itu akan dinamakan "Part Of Me" iaitu judul yang sama yang digunakannya untuk filem biopic konsertnya tahun lepas.

Menurut akhbar The Sun UK, buku autobiografinya itu akan mengisahkan tentang perjalanan hidupnya termasuk perkahwinan singkat dengan pelawak Britain, Russel Brand.

Katy juga bersetuju untuk menulis tentang perhubungan barunya dengan John Mayer.

Akhbar tersebut memetik satu sumber sebagai berkata, Katy bersetuju untuk menghasilkan buku mengenai kehidupannya setelah mendapat tahu yang Russel juga telah menandatangani perjanjian untuk menghasilkan sebuah buku tentang percintaan mereka.

The Sun tidak menyatakan syarikat penerbitan manakah yang bakal menghasilkan buku Katy itu.

Katy mula mencipta nama sebagai penyanyi menerusi album studionya yang pertama berjudul "One of the Boys" pada tahun 2008.

Ini diikuti dengan singlenya yang pertama "I Kissed a Girl".

Selepas menghasilkan beberapa single lagi seperti "Hot n Cold", "Thinking of You" dan "Waking Up in Vegas", Katy menghasilkan album penuhnya yang kedua berjudul "Teenage Dream" yang meletup di carta-carta muzik di seluruh dunia.

Album tersebut menghasilkan lima lagu yang menduduki takhta carta Billboard Hot 100 —iaitu lagu "California Gurls", "Teenage Dream", "Firework", "E.T." dan "Last Friday Night (T.G.I.F.)".

Kejayaan tersebut menjadikan Katy sebagai artis wanita pertama dalam sejarah berjaya melakukan demikian dan album yang kedua selepas Michael Jackson "Bad" pada tahun 1987.

Tahun lalu, Billboard menamakannya sebagai "Woman of the Year".

Rekodnya terjual sebanyak 11 juta unit di seluruh dunia dan 75 juta lagi dalam bentuk digital.

Katy juga merupakan satu-satunya artis yang lagunya terus kekal selama 69 minggu tanpa putus dalam carta "top ten" Hot 100.

Artikel Lain